Jumaat, 17 Februari 2017

Melaka United tanpa Sergio Aguero berdepan Sarawak

Masalah kecederaan dan jadual padat dilihat memberi sedikit tekanan kepada Melaka United yang akan bertandang ke Kuching untuk berdepan Sarawak bagi saingan Liga Super, malam esok (Sabtu).

Ketua Jurulatih, Eric Williams berkata, beliau berharap para pemainnya segera pulih daripada keletihan dan kecederaan supaya perancangan serta taktikal mereka tidak terjejas untuk perlawanan tersebut.

Lazada Malaysia

Beliau berkata, kecederaan yang dialami beberapa pemain sedikit meresahkannya dan beliau berusaha mengekalkan beberapa pemain dalam kesebelasan utama seperti yang diturunkan ketika bertemu PKNS untuk pusingan kedua Piala FA baru-baru ini.

“Kita tidak hanya tumpukan kepada latihan tetapi berharap fizikal para pemain cepat pulih supaya tidak mempengaruhi corak formasi seperti perlawanan terdahulu kerana kita hanya ada tiga hari untuk berlatih.

“Mereka beraksi dengan baik dan ia memberi kita keyakinan untuk mencari kemenangan pertama apabila menentang Sarawak nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hang Tuah di Melaka semalam.

Williams berkata, beliau turut menghormati skuad Bujang Senang itu biarpun melihat pertemuan pertama kali itu agak sukar, namun mereka mahu buktikan kemampuan Melaka United.

Jurulatih kelahiran England itu turut menyifatkan semua pasukan dalam Liga Super bukan calang-calang lawan selain mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, khidmat pemain import dari Argentina, Sergio Aguero mungkin terpaksa dilupakan dalam perlawanan bertemu Sarawak bagi memastikan penyerang itu benar-benar pulih.

“Kita mungkin akan membawanya bersama dan menyenaraikannya sebagai pemain simpanan, namun untuk membiarkan dia bermain dalam kesebelasan utama agak berisiko.

“Ia tentu akan merugikan kami kerana lawan seterusnya dalam Liga Super adalah pasukan yang kuat dan berada dalam kedudukan teratas,” katanya.

Sumber : kosmo


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget