Khamis, 21 Julai 2016

Maruah Felda United sedikit tercalar

Rekod tanpa kalah Felda United, di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka lebur apabila  tumpas 1-0 kepada Terengganu dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia, malam tadi.

"Sedikit tercalar kerana kalah di tempat sendiri tetapi nasib baik ia adalah perlawanan Piala Malaysia.

"Jadi, kita akan bertemu kembali di sini 9 Ogos (menentang Melaka United) di sini. Saya harap ia tidak akan berulang lagi," kata jurulatih Felda, Irfan Bakti Abu Salim.

Tewas 6-1 kepada Kelantan dalam aksi Liga Super, Jumaat lalu, Terengganu turun untuk bangkit bertemu Felda yang tidak kalah dalam 10 perlawanan di laman sendiri sebelum ini.

Skuad Peteh di bawah sentuhan Mustafa Kamal, selaku jurulatih sementara mempamerkan corak permainan positif menerusi beberapa percubaan bahaya ke kubu The Fighters.

Namun, mereka hampir ketinggalan pada minit ke-30, mujur Forkey Doe melakukan kesilapan menyentuh bola pada kedudukan ofsaid ketika percubaan Gilberto sudah hampir menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, Terengganu dinafikan sepakan penalti walaupun Norshahrul Idlan Talaha tampak dikasari pertahan Felda United.

Namun, usaha keras penyerang kebangsaaan itu membuahkan hasil apabila berjaya menyudahkan hantaran Issey Najakima, sekali gus meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-50.

Gawang Felda nyaris bocor buat kali kedua pada minit ke-82, mujur percubaan pemain gantian Ashaari Shamsudin tidak tepat ke sasaran.

Felda kemudian melancarkan siri serangan ke kubu Terengganu, namun deretan peluang yang terhidang gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

Pun begitu, walau tewas, Felda terus bertakhta dalam saingan kumpulan D hasil perbezaan jaringan.

Manakala tiga mata yang diraih Terengganu ke atas Felda pula sekadar meletakkan mereka di tangga ketiga, namun sekurang-kurangnya mengelak dari menghuni tangga tercorot.

Sementara itu, jurulatih sementara Terengganu, Mustafa Kamal, memuji semangat skuadnya.

"Alhamdullilah. Pemain-pemain saya bermain bermati-matian untuk mengembalikan maruah negeri Terengganu."

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget