Rabu, 6 Januari 2016

Felda United perkuat benteng pertahanan

Masalah kerapuhan bahagian pertahanan dijangka mampu diselesaikan FELDA United musim ini selepas mendapatkan khidmat pemain import Gilberto Carlos yang beraksi di kelab divisyen dua Liga Brazil Atletico Bragantino.

Menurut jurulatih FELDA United Irfan Bakti Abu Salim, kehadiran pemain import berusia 26 tahun dari Brazil itu dijangka mampu memperkemaskan benteng pertahanan mereka untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.

“Kelemahan kita ibarat menjaringkan empat gol dan dalam masa sama bolos empat. Kita memang mampu menjaringkan gol di tempat lawan tapi kita juga boleh dibolosi,” katanya dalam Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Import baru semalam.

Jelasnya, beliau melihat sendiri keupayaan pemain import berkenaan ketika berkunjung ke Brazil bulan lalu dan Gilberto yang beraksi di bahagian pertahanan tengah dijangka tiba di Malaysia sebelum 21 Januari ini.

“Dalam masa sama kita juga mendapatkan seorang lagi pemain import dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev. Saya juga melihat sendiri permainannya sejak dari tahun lalu. Dia akan beraksi di bahagian tengah selain mampu membantu pertahanan atau serangan.

“Turaev sudah pasti akan bergandingan bersama seorang lagi import, Zah Rahan Krangar (Liberia). Zah Rahan terkenal dengan permainan licik, manakala Turaev lebih agresif dan mereka akan bergandingan bersama pemain tempatan seperti Abdul Shukur Jusoh serta Ahmad Ezrie Shafizie Sazali,” katanya.

Kata Irfan Bakti, sasarannya ataupun Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) selepas tiga musim bersama FELDA United adalah sekurang-kurangnya meraih satu trofi musim ini.

“Sudah tiga tahun saya bersama FELDA United. Tahun pertama membawa mereka mara ke Liga Super, diikuti muncul naib juara Piala FA. Jadi tahun ini tidak ada jalan lain, saya terpaksa ikut KPI yang ditetapkan pasukan. Memang sangat sukar tapi tidak mustahil.

“Kita juga memang terasa kehilangan Shahrul Saad yang pulang ke negeri asal, Perak namun berterima kasih kepada Kedah kerana melepaskan pemain tengah Harimau Muda, Mohd Ridzuan Abdunloh atau lebih dikenali dengan gelaran Tom Yam,” katanya.

Irfan Bakti juga mengakui saingan Liga Super musim ini sangat mencabar selepas semua pasukan termasuk Selangor dan Terengganu menyediakan dana besar selain Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget