Rabu, 6 Januari 2016

Import baru mungkin dibanding dengan Nwakaeme

Jurulatih Pahang Ahmad Shaharuddin Rosdi tidak menolak kemungkinan peminat skuad itu akan membuat perbandingan antara pemain import baru dan lama khususnya Dickson Nwakaeme.

Namun, Ahmad Shaharuddin yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, beliau tidak boleh menyekat mereka daripada membandingkan Nwakaeme dengan dua penyerang German Ezequiel Pacheco dari Argentina dan Felipe Alves (Brazil).

Katanya, ini kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri dan sudah pasti pemilihan mereka adalah yang terbaik untuk kembali mempertajamkan jentera serangan skuad Tok Gajah bagi mengharungi saingan liga musim ini.

“Saya tahu pasti ramai akan membandingkan Nwakaeme dengan Pacheco atau Alves yang akan mengetuai jentera serangan selepas ketiadaan Nwakaeme.

“Tapi, sama ada Pacheco atau Alves mereka sudah pasti memiliki keistimewaan masing-masing walaupun tidak setanding fizikal dimiliki Nwakaeme yang diakui tegap dalam usaha memburu gol.

“Namun, apa yang menjadi keutamaan adalah memiliki penyerang mempunyai penyudah baik. Ada ketikanya Nwakaeme yang sememangnya melepasi pertahanan lawan, tapi tindakan penyudahnya pula tiada.

“Oleh itu, saya percaya kehadiran dua penyerang dari Amerika Selatan akan menambah bisa di bahagian serangan, sekali gus mengatasi pencapaian dilakukan Nwakaeme dan Matias Conti sebelum ini,” katanya, di sini, semalam.

Berdasarkan pengalaman, Pacheco, 24, pemain kelahiran Buenos Aires itu beraksi di Liga Sepanyol bersama kelab Cordoba, manakala Felipe Alves, 28, bersama FK Vardar dalam saingan Liga Macedonia.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget