Khamis, 21 Julai 2016

Lalai punca Red Giants kongsi mata

Kelalaian pada masa kecederaan akhirnya mengundang padah buat penyandang juara, Selangor apabila Kelantan bangkit mengikat 3-3 dalam aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tonggak tengah skuad Pamoga QuPuteh The Red Warriors (PQPTRW) dari Brazil, Wander Luiz nyaris memberi gol pertama buat pasukan pelawat pada minit kelapan, namun rembatan derasnya tepat ke penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.

Skuad Red Giants yang beraksi tanpa khidmat ketua pasukan, Shahrom Kalam keana direhatkan susulan kecederaan bagaimanapun kembali melancarkan serangan balas pada minit ke-10 namun percubaan Patrick Ronaldinho sekadar melintasi gawang pelawat.

Gol dinanti-nantikan hampir 5,000 penyokong tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-29 apabila sepakan sudut R Gopinathan sempat ditepis Khairul Fahmi Che Mat sebelum penyerang dari Argentina Mauro Olivi menyambar bola yang singgah ke kakinya sekali gus menewaskan penjaga gol kebangsaan itu.

Pelawat yang tersentak dengan jaringan berkenaan cuba memperkemaskan aksi apabila kerap menggunakan larian deras Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Brendan Gan bagi memecah benteng tengah tuan rumah, namun ketenangan bekas pertahanan Queens Park Rangers, Ugochukwu Ukah banyak menyelamatkan kubu Selangor.

Kelantan terus sengsara apabila tuan rumah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-38 menerusi tandukan Ronaldinho selepas dia bijak memanfaatkan hantaran silang Raimi Mohd Nor.

Ketika aksi babak pertama sakan-akan berkesudahan 2-0, pasukan pelawat mendapatkan gol pertama menerusi rembatan padu Luiz sekali gus merapatkan jurang jaringan.

Sebaik babak kedua bersambung, Ronaldinho yang juga penyerang kebangsaan Liberia meletakkan tuan rumah bertambah selesa pada minit ke-49 dengan sepakan yang gagal dihalang Khairul Fahmi.

Ketinggalan 3-1 tidak mematahkan semangat pemain Kelantan, malah percaturan jurulatih pelawat Velizar Popov memasukkan bekas pemain Harimau Malaysia Wan Zack Haikal Wan Noor nyata tidak sia-sia apabila dia membalas kepercayaan itu menerusi jaringan kedua pada minit ke-73.

Usaha berterusan pelawat memburu jaringan penyamaan membuahkan hasil apabila seorang lagi pemain gantian, Abdul Manaf Mamat muncul penyelamat menerusi gol ketiga pada minit ke-98, sekali gus menghampakan anak buah Zainal Abidin Hassan.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget