Pengendali Kelantan Velizar Popov berpendapat, pertemuan dengan skuad bimbingan Ismail Zakaria itu tidak boleh dipandang rendah sebaliknya pelawat harus diberi perhatian serius jika Kelantan tidak mahu kehilangan tiga mata.
Katanya, pasukan kerdil seperti Kuala Lumpur yang terkenal dengan jolokan The City Boys itu mampu ‘membunuh’ mana-mana skuad gergasi berikutan kekuatan pasukan berkenaan sukar dibaca dan mampu memberi tentangan sengit.
“Pemain kami perlu berwaspada disebabkan peluang semua pasukan dalam Kumpulan B iaitu Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur untuk ke suku akhir masih terbuka.
“Barisan pertahanan kami bakal diperkuatkan selepas import Jonathan McKain yang direhatkan Selasa lalu akan diturunkan untuk berganding bersama Mohamad Faris Shah.
“Saya turut menggesa jentera serangan diketuai Blazhe Ilijoski, Wanderer Luiz, Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam dapat melakukan penyudah dengan sempurna termasuk berusaha mencari gol awal,” katanya.
Dalam saingan Kumpulan B, Selangor dan Kelantan kini berkongsi empat mata selepas masing-masing memperoleh satu kemenangan dan satu seri manakala Kuala Lumpur di tangga ketiga dengan tiga mata diikuti Pahang yang masih belum mengumpul mata.
Kelantan perlu menang dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur bagi menghidupkan peluang mereka untuk layak ke slot suku akhir.
Difahamkan, seorang lagi penyerang berbisa Kelantan Mohd Norfarhan Muhammad yang berehat panjang sebelum ini akibat kecederaan mungkin diturunkan jika pemain itu mencapai tahap kecerdasan yang dikehendaki jurulatih kelahiran Bulgaria berkenaan.
Popov berkata, selain IlIjoski dan Luiz, pemain legenda Kelantan Indra Putra Mahayuddin mungkin terus digandingkan dengan Margano Gomis bagi merencanakan gerakan di bahagian tengah.
Katanya, beberapa perubahan terpaksa dilakukan bagi mengimbangi kekuatan pasukan.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan