Sabtu, 30 Julai 2016

Melaka United gagal manfaat aksi di laman sendiri, Cruz wira T-Team

Harapan Melaka United untuk merekodkan kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas di tangan Felda United 1-0 dalam perlawanan ketiga Kumpulan D, Piala Malaysia, malam tadi.

Gol tunggal perlawanan hadir menerusi kapten pasukan, Shukor Adan. Sekalipun berdepan negeri kelahirannya, Shukor tidak menyembunyikan keterujaannya apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-87.

Bagaimanapun, perlawanan dibayangi keputusan pengadil yang enggan menganugerahkan sepakan penalti kepada Melaka United pada babak pertama sekalipun ulang tayang jelas menunjukkan Mohd Iskandar Hanapiah dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Keputusan itu menyaksikan Felda United kini mendahului Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di hadapan Terengganu yang kurang satu perlawanan manakala Melaka United menduduki tempat ketiga dengan tiga mata selepas tiga perlawanan.

Patrick Cruz pula menjadi wira T-Team apabila meledak dua gol untuk membantu kemenangan 2-0 ke atas Sarawak di Kuching.

Kedua-dua gol Cruz hadir pada babak kedua, sekali gus meletakkan T-Team menduduki tangga kedua Kumpulan A, tiga mata di belakang pendahulu, Kedah, yang mengutip satu mata selepas terikat seri 0-0 berdepan Johor DT II di Stadium Darul Aman.

Sarawak kekal di kedudukan terakhir dengan satu mata selepas tiga perlawanan.

Kedah dan JDT II bakal membuat perhitungan sekali lagi pada 9 Ogos ini di Pasir Gudang dalam perlawanan keempat saingan Kumpulan A, Piala Malaysia.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget