Sabtu, 18 Februari 2017

Kelantan tagih sentuhan Piya

Kelantan kembali menagih sentuhan jeneral padang, Mohd Badhri Radzi dalam usaha mereka memburu mata penuh apabila bertemu Kedah pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Jurulatihnya, Zahasmi Ismail mendedahkan, khidmat Mohd Badhri atau dikenali Piya tetap berada dalam perancangan sekalipun kapten The Red Warriors itu kemungkinan terpaksa beraksi dengan kepala berbalut untuk berdepan peneraju takhta liga itu.

Lazada Malaysia
“Memang sebelum lawan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) FC tempoh hari dia beritahu nak bermain, namun saya tidak benarkan kerana tidak mahu kecederaan yang dialaminya bertambah serius.

“Saya akui Kelantan memerlukan Piya untuk hadapi Kedah kerana dia ada kreativiti tersendiri untuk melorongkan bola kepada penyerang terutamanya Mohamed Ghaddar bagi merobek pintu gol lawan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Badhri menerima enam jahitan di kepala setelah bertembung dengan pemain Felda United FC, pada aksi liga di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, minggu lalu.

Zahasmi percaya kehadiran perancang tengah berusia 35 tahun itu mampu mengimbangi rentak permainan tatkala skuad Lang Merah hampir pasti bersandarkan kepada tonggak import, Liridon Krasniqi untuk merencana serangan pasukan mereka.

Menurutnya, selain pemain import Kosovo itu, Baddrol Bakhtiar, Mohd Syazwan Zainon, Muhammad Farhan Roslan dan Ahmad Fakri Saarani juga dilihat antara watak yang boleh memberi ancaman berbahaya kepada Kelantan, pada pertemuan itu.

“Saya tidak boleh nafikan peranan Piya kerana ada atau tidak dia di atas padang, itu banyak mempengaruhi corak permainan pasukan ini. Begitu juga Kedah, Liridon mungkin menjadi penentu kepada kejayaan pasukan mereka,” katanya.

Menurutnya, pertemuan malam ini lebih bersifat ‘perang percaturan’ dua jurulatih tempatan memandangkan corak permainan kedua-dua pasukan itu lebih kurang sama.

“Mungkin kami kurang di sini (posisi tertentu), (tapi) mereka lebih di sana (posisi lain), namun hakikatnya saya rasa, tak jauh bezanya di antara Kelantan dengan Kedah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pengendali berusia 50 tahun itu tidak menolak dia terpaksa menggunakan sistem penggiliran pemain berikutan pasukannya berdepan susunan jadual padat sepanjang bulan ini.

“Bukan tiga tetapi lima perlawanan dalam tempoh dua minggu.

“Dalam keadaan pasukan belum mencapai keserasian sepenuhnya, saya tidak ada pilihan selain perlu menggunakan kudrat pemain yang ada menghadapi perlawanan selepas ini,” katanya.

Sumber : sinar harian


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget