Sabtu, 2 Julai 2016

Irfan Bakti gusar belum ada keputusan import yang akan kekal

Pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim, sedikit gusar berikutan masih belum ada keputusan siapa khidmat import pasukannya yang akan dikekalkan untuk baki saingan Liga Malaysia.

Kehadiran semula Thiago Augusto yang pulih daripada kecederaan jangka panjang bakal memperkuatkan bahagian serangan Felda United.

Malah, pemain kelahiran Brazil itu tidak hilang sentuhan apabila mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa perlawanan persahabatan.

Ia sekali gus menyaksikan salah seorang daripada import lain, iaitu Francis Forkey Doe, Zah Rahan Krangar serta Gilberto, terpaksa digugurkan bagi memberi ruang kepada Thiago.

Kedudukan Lutfula Turaev pula tidak terjejas berikutan dia mengisi kuota import Asia.

Pengurusan Felda United dijangka akan membuat keputusan mengenai situasi itu sebelum pasukan diberi tempoh rehat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya akan berbincang dengan pengurusan sebelum sambutan Hari Raya untuk menentukan siapa yang patut dikeluarkan.

"Saya sendiri pun agak terganggu bila jadi macam ini. Bagaimanapun, keputusan terpaksa dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Irfan masih meneliti cadangan pertukaran pemain membabitkan Hadin Azman serta Junior Eldstal dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Difahamkan, pertukaran ini menjadi sebahagian daripada tawaran JDT untuk memancing khidmat Hadin kembali ke pangkuan pasukan Harimau Selatan itu.

Dengan bahagian pertahanan menjadi keutamaan Irfan, dia mengambil sikap terbuka serta yakin mampu mencari pemain yang sesuai dengan corak permainan skuad The Fighters.

"Mungkin juga kelebihan kepada pihak yang mahu pemain muda yang boleh maju.

"Walau macam mana pun, masih ada ruang dan masa untuk pertukaran pemain."

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget