Ahad, 3 Julai 2016

Tolak tawaran JDT, Hadin ingin balas budi Irfan dan FELDA United

Pemain muda FELDA United Muhammad Hadin Azman sanggup menolak tawaran lumayan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) semata-mata kerana mahu membalas budi jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan pengurusan The Fighters.

Hadin, 22, berkata walaupun gaji ditawarkan lumayan, dia rela berkorban demi membalas budi Irfan dan FELDA yang dianggap menyelamatkan kariernya selepas disingkirkan Johor DT pada 2014.

“Selepas kontrak saya ditamatkan Johor DT, Irfan menawarkan menyertai FELDA. Ketika itu saya rasakan bagai mati hidup semula. Bayangkan dengan isu yang membelenggu ketika saya bersama Johor DT, Irfan masih sanggup menawarkan tempat.

“Beliau membimbing dan memberi peluang kepada saya bermain sehingga mencapai tahap sekarang. Saya menganggap Irfan dan FELDA sebagai penyelamat karier dan saya sangat terhutang budi kepada mereka.

“Saya akui ada menerima tawaran daripada Johor DT sebelum Liga Super berhenti rehat baru-baru ini. Saya memang teruja dengan tawaran itu kerana tidak sangka pasukan berkenaan masih berminat selepas menamatkan kontrak saya dua tahun lalu.

‘’Saya ada berbincang dengan Irfan mengenai tawaran itu dan beliau tidak menghalang jika saya mahu menyertai mereka walaupun kontrak bersama FELDA masih ada sehingga hujung musim ini.

“Jika difikirkan soal gaji ditawarkan Johor DT, memang saya sudah menyertai mereka. Semua sedia maklum Johor DT pasukan yang membayar gaji tinggi kepada pemainnya. Tapi, budi tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.

“Selepas saya memikirkan semasak-masaknya, saya mengambil keputusan menolak tawaran itu. Saya ingin membalas budi Irfan dan FELDA dengan terus membantu mereka sehingga akhir musim ini. Kalau boleh, saya mahu membantu pasukan itu memenangi sekurang-kurangnya satu piala.

“Oleh itu jika hendak berpindah sekalipun, saya akan lakukannya selepas selesai tugasan bersama FELDA. Itupun jika Johor DT atau pasukan lain masih berminat terhadap saya,” kata Hadin.

Hadin menjadi pemain muda tempatan paling menonjol musim ini sehingga Irfan pernah mencadangkan agar jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee memberi peluang kepadanya menyarung jersi kebangsaan.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget