Sabtu, 2 Julai 2016

Writ saman terhadap PBNJ difailkan

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang menguruskan skuad gergasi dari Selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT), disaman.

Plaintif, That’s Life Sdn Bhd (TLSB), dalam writ samannya menamakan Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim, sebagai defendan yang didakwa menamatkan perjanjian usaha sama pengiklanan yang bertentangan dengan terma-terma perjanjian.

Writ saman difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 20 Januari lalu, namun defendan menerusi peguam Tetuan Shukor Baljit & Partners, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 28 Mac. Plaintif diwakili oleh Ahmad Hafiz Zubir dari Tetuan Khairil Ahmad & Co.

Bagaimanapun, pada Khamis, Hakim Al Baishah Manan membuat keputusan menolak permohonan defendan. Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara penuh untuk mendengar saman yang difailkan oleh plaintif selepas kedua-dua pihak menyempurnakan dokumen perbicaraan.

Dalam tuntutan pernyataannya, TLSB mendakwa PBNJ melanggar syarat-syarat perjanjian yang diluluskan Kerajaan Negeri Johor pada 2010 sejurus menerima surat penamatan segala usaha sama dengan plaintif pada 24 November 2014.

Plaintif menuntut gantirugi am, gantirugi kerugian ekonomi masa depan berjumlah lebih RM20 juta atau gantirugi khas berjumlah lebih RM5 juta, gantirugi terhadap kehilangan reputasi dan nama baik serta gantirugi teruk dan pengajaran yang ditaksirkan mahkamah.

Menurut writ saman yang dikemukakan plaintif pada Januari lalu, pihak defendan dan plaintif melalui surat bertarikh 22 September 2010 dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) memaklumkan Kerajaan Negeri Johor telah meluluskan cadangan usahasama pengiklanan dengan beberapa syarat, antaranya:

Klausa 3 - PBNJ menyediakan tapak pengiklanan yang diluluskan. Jika PBNJ tidak dapat menyediakan tapak yang dimohon oleh TLSB, sumbangan kewangan kepada PBNJ dibahagikan mengikut peratusan yang ditetapkan di tapak pengiklanan yang diluluskan.

Klausa 4 – TLSB dikehendaki membayar keuntungan tahunan daripada akaun tahunan yang diaudit setiap 31 Disember dengan kadar 60 peratus untuk TLSB dan 40 peratus untuk PBNJ. Bayaran mesti dibuat kepada PBNJ dalam masa tiga bulan daripada akaun yang telah diaudit.

Klausa 5 – PBNJ harus membantu TLSB memohon pihak berkuasa tempatan mengecualikan TLSB daripada lesen pengiklanan.

Klausa 6 – kedua-dua pihak bersetuju struktur yang dibina di tapak yang diluluskan adalah milik TLSB.

Klausa 8 – Sepanjang tempoh perjanjian, jika ada pihak berkuasa tempatan yang mengalih/membuang mana-mana billboard, banner, bunting di tapak pengiklanan yang diluluskan dengan syarat sudah diberi lesen oleh pihak berkuasa tempatan, PBNJ bertanggungjawab terhadap TLSB atas sebarang kerugian.

Ismail yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, dilantik menjadi presiden PBNJ menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Julai 2015.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget