Jumaat, 5 Februari 2016

STAR suntik semangat skuad 'The Fighters'

Skuad Felda United beraksi dengan semangat baharu apabila mereka secara rasminya memiliki arena sendiri menerusi pembukaan Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran.

Stadium STAR yang menelan belanja RM90 juta siap dibina pada 13 Jan lepas dengan keupayaan untuk memuatkan 20,000 penonton dalam satu-satu masa.

Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berkata ia merupakan stadium pertama yang dibina khas untuk sukan bola sepak dan berkonsep moden serta menepati spesifikasi ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Stadium STAR merupakan venue rasmi Felda United bagi menggantikan Stadium Selayang yang sebelum menjadi venue skuad The Fighters dan dengan adanya STAR, saya menjangkakan ia akan memberi semangat baharu kepada pemain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kit dan memperkenalkan pegawai serta pemain Kelab Bola Sepak Felda United bagi tahun 2016 di Bandar Tun Razak, di sini malam ini.

Isa berkata stadium baharu itu juga diharap dapat menjadikan pemain Felda United lebih komited dan mengekalkan prestasi dengan mencapai kejayaan sekurang-kurangnya meraih satu trofi pada musim ini.

Pembinaan Stadium STAR ini, katanya bertitik tolak daripada hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan pasukan Felda United memiliki venue sendiri untuk pasukan dan penyokong.

"Buat masa ini pembinaannya tanpa berbumbung tetapi mungkin akan dinaik taraf jika diperlukan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata selain bagi kegunaan Felda United, stadium bola sepak ini sesuai untuk dijadikan venue perlawanan antarabangsa.

Ia dilengkapi rumput tiruan yang diimport khas dengan kos pemasangan mencecah RM2 juta selain turut mempunyai kemudahan seperti bilik sauna, bilik persalinan pemain, gimnasium, tandas, dan bilik solat.

Terdahulu, pasukan berstatus kelab berkenaan turut memperkenalkan barisan pemain, termasuk lapan pemain baharu yang diambil bagi menguatkan lagi The Fighters pada musim ini.

Pemain tempatan baharu ialah Shukor Jusoh, Norfadzly Alias, Mohd Idris Ahmad, Ahmad Ezrie Shafizie, Bobby Gonzalez dan Mohd Suffian Abdul Rahman.

Dua pemain import baharu ialah pemain dari Brazil, Gilberto Carlos Marangoni bagi mengisi posisi pertahanan dan pemain dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev untuk posisi tengah.

The Fighters turut mengekalkan dua pemain importnya iaitu Zah Rahan Krangar (Liberia) dan Fernandes Thiago Agusto (Brazil).

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget