Ketua jurulatihnya, Mario Gomez berkata, dia mahu pemainnya memberikan sepenuh perhatian sepanjang aksi kerana perlawanan menentang kelab dari Thailand itu penting.
“Perlawanan ini sangat penting kerana kami memang mahu bermain di ACL pada musim ini.
“Mereka sebuah pasukan yang bagus, tetapi kami akan berjuang bagi memastikan sasaran layak ke saingan ACL tercapai,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Mengenai persiapan Harimau Selatan, Mario Gomez berkata, dia kini sedang mempersiapkan kesebelasan terbaik Harimau Selatan bagi berdepan skuad Twin Qilin berkenaan.
“Masih terlalu awal untuk beritahu siapa yang akan diturunkan, namun saya akan menurunkan barisan kesebelasan terbaik bagi memenangi perlawanan ini.
“Mereka sebuah pasukan yang baik dan kuat, malah pernah layak ke ACL sebelum ini. Jadi semua pemain perlu berwaspada sekali gus tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan,” katanya.
Perlawanan ini akan menentukan pasukan yang akan terus ke pusingan ketiga seterusnya layak untuk bertanding dalam kejohanan ACL.
Sementara itu pertahanan JDT, Harris Harun berkata, pemain Harimau Selatan sudah bersedia dan bersemangat untuk bertemu Muangthong United malam ini.
“Kami di sini untuk memberikan yang terbaik untuk kelab kerana ini adalah satu lagi peluang kami di kempen ACL selepas terkandas pada pusingan yang sama musim lalu.
“Walaupun ia dilihat agak sukar di atas kertas tetapi dengan mengikuti arahan yang telah dirancang oleh jurulatih, tiada yang mustahil dalam sukan bola sepak ini,” katanya.
Menurutnya, JDT pernah membuktikan tahun lalu dengan berjaya menjadi juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan mahu sekali lagi membuktikannya di peringkat yang lebih tinggi kali ini.
Sumber : sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan