Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau terpaksa akur dengan warna cat yang sudah ditempah Impian Berkat Trading kerana kesuntukan masa.
"Warna yang saya nak itu lebih kepada warna magenta iaitu antara ungu dan mawar yang dicampur merah muda tetapi masih belum ditemui.
"Buat masa ini saya setuju dengan warna yang sudah ditempah. Namun usaha mencari cat seperti warna dan kualiti yang saya kehendaki tetap akan diteruskan," katanya kepada mStar Online.
Menurut Vida, sebagai langkah awal stadium keramat tersebut akan diserikan dengan warna yang sudah ditempah untuk lapisan pertama sebelum warna cat yang terbaik ditemui.
"Untuk permulaan, stadium akan dicat dengan warna merah jambu sedia ada untuk lapisan pertama. Selepas warna yang saya kehendaki ditemui, baharulah kerja touch up lapisan kedua akan dilakukan bagi memastikan warna tersebut tahan lebih lama," katanya.
Katanya lagi, warna merah jambu juga akan dicat pada laluan masuk dan trek balapan stadium berkenaan.
Justeru, Vida mengakui kerja pengubahsuaian stadium mungkin tidak dapat disiapkan sepenuhnya sebelum sepak mula Liga Super, 13 Februari ini.
Namun, beliau memberi jaminan kepada penyokong Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bahawa stadium akan berada dalam keadaan terbaik.
"Mungkin berlaku sedikit kelewatan untuk menyiapkan pengubahsuaian stadium tetapi saya akan pastikan penyokong selesa semasa menyaksikan perlawanan di gelanggang sendiri," katanya.
Terdahulu, Vida mengadakan pertemuan secara tertutup dengan Pengarah Impian Berkat Trading, Mohd Halizan Ab Halim selama sejam di Shah Alam untuk memperincikan mengenai warna cat dan kerja pengubahsuaian stadium di Kelantan itu.
Usahawan kosmetik terkemuka negara itu sebelum ini kecewa dengan tindakan syarikat kontraktor yang dilantik kerana membuat tempahan cat tanpa berunding dan mendapat persetujuan beliau.
Vida memperuntukan RM1 juta untuk kerja mengecat dan pengubahsuaian stadium yang sedang giat dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau meminta kerjasama penyokong supaya bersikap positif bagi memastikan keadaan stadium sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sementara itu, Mohd Halizan berkata, kerja mengecat akan dimulakan awal pagi Selasa dan dihentikan pada tengah hari bagi membolehkan cat tersebut kering sebelum aksi persahabatan PQPTRW menentang Kuala Lumpur di sebelah malam.
"Kerja mengecat dengan warna merah jambu akan dimulakan esok namun akan dihentikan lebih awal. Kita bimbang jika cat masih belum kering untuk perlawanan pada sebelah malam," katanya.
Difahamkan pihak kontraktor sudah pun menempah 200 tong cat yang diberi nama DSV Pink dari pengeluar cat di Klang, Selangor yang dianggarkan mencecah RM100,000.
Vida akan turut hadir menyaksikan perlawanan persahabatan tersebut pada malam Selasa.
Sumber : mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan