Selasa, 2 Februari 2016

Bukan kekuatan sebenar Selangor

Jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan percaya tiga kekalahan berurut-turut dalam aksi pramusim termasuk 2-4 kepada kelab Liga Divisyen 1 Thailand Samut Songkhram di Bangkok semalam tidak menggambarkan kekuatan sebenar mereka.

Beliau berkata, masih ada masa baginya mempersiapkan pasukan sebelum mengharungi saingan Liga Malaysia bermula dengan Piala Sumbangsih menentang juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Larkin pada 13 Februari ini.

“Bukan saya tidak bimbang dengan keputusan ini tapi apa yang saya tekankan di sini adalah corak permainan dan menilai kemampuan pemain saya.

“Di sini saya dapat gambaran sebenar siapa pemain yang akan beraksi dalam skuad utama nanti. Masih ada beberapa aspek yang perlu dimantapkan lagi dan saya percaya kami akan bersedia apabila saingan bermula,” kata Zainal.

Kekalahan kepada Samut Songkhram itu menyaksikan skuad Gergasi Merah pulang daripada siri jelajah pramusim di Bangkok tanpa sebarang kemenangan apabila turut tunduk kepada Nakhom Pathom United 0-2 kelmarin.

Sebelum itu Selangor tewas kepada pendatang baru Liga Super Pulau Pinang dalam aksi persahabatan di Stadium Bandaraya 0-1.

Zainal yang dilantik menggantikan Mehmet Durakovic selepas Selangor merangkul kejuaraan Piala Malaysia ke-33 Disember lalu berkata, beliau banyak membuat pertukaran pemain dalam aksi menentang dua kelab Thailand itu.

“Seramai 22 hingga 23 pemain saya uji dalam dua perlawanan ini untuk melihat bagaimana mereka dapat mengadaptasi taktikal yang diterapkan. Dua perlawanan di sini cukup baik kerana ia menguji taktikal, fizikal dan kepantasan pemain.

“Dalam perlawanan pertama (Nakhom Pathom United) kami banyak mensia-siakan peluang manakala dalam perlawanan hari ini (semalam) bahagian pertahanan pula melepaskan gol mudah jadi perkara ini perlu diatasi segera,” jelasnya.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget