Isnin, 29 Februari 2016

Kedudukan Presiden FAM diketahui hari ini

Kedudukan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mungkin diketahui hari ini apabila surat peletakan jawatannya dijangka antara agenda dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-7 bagi sesi 2014-2018.

Hingga kini Exco FAM masih belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak surat peletakan jawatan presidennya November lalu dan menurut sumber dalaman, isu itu tidak boleh terus berlarutan.

Ini kerana beliau menganggap kata putus perlu dibuat dengan segera bagi membolehkan FAM terus fokus dalam melaksanakan agenda yang ditetapkan pemimpin mereka.

“Mesyuarat Exco esok (hari ini) adalah mesyuarat biasa yang membincangkan mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan tapi saya percaya, status presiden Tengku Abdullah akan diselitkan dalam perbincangan itu nanti.

“Pada saya perkara ini perlu dijelaskan dengan segera supaya tidak ada lagi kekeliruan mengenai kedudukan Tengku Abdullah supaya semua ahli Exco boleh bergerak seiring dalam membangunkan bola sepak negara,” katanya.

Tengku Abdullah yang menggantikan ayahandanya Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM pada 2014 membuat kejutan apabila menyuarakan hasrat untuk melepaskan jawatan ekoran kekecewaan dengan prestasi Harimau Malaysia yang dibelasah 0-10 oleh Emiriah Arab Bersatu pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Abu Dhabi September lalu.

Menguatkan lagi keinginan itu apabila beliau didakwa mahu segera melepaskan jawatan untuk merebut kerusi Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa memenangi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Namun harapan barisan Exco yang mahu Tengku Abdullah kekal sekurang-kurangnya hingga tamat penggalnya 2018 kembali bersinar apabila Sheikh Salman gagal dalam misinya pada pemilihan FIFA Jumaat lalu.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget