Sabtu, 20 Februari 2016

K Devan akan rombak skuad untuk hadapi UKM FC

K Devan membayangkan akan membuat rombakan terhadap skuad kendaliannya apabila turun berdepan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC dalam aksi pusingan kedua kempen Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan itu berkata, percaturan itu bertujuan memberi suntikan baharu buat pasukannya sambil mengesahkan pemain sayap berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin turut berada dalam perancangan untuk diturunkan dalam pertemuan itu.

“Mungkin saya akan beri peluang kepada pemain baharu untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama bermain malam esok (ini). Dari segi rombakan, saya boleh katakan, itu akan ada (berlaku) dalam pasukan ini.

“Namun matlamat kita masih sama, selaku finalis musim lalu, Kelantan hendak menang perlawanan ini untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Biarpun akan berlaku perubahan dalam pasukannya, Devan menegaskan, dia tidak memandang rendah pertemuan tersebut dan memberi jaminan anak buahnya tetap akan mempamerkan aksi berkualiti apabila berdepan kelab liga divisyen tiga itu.

“Saya tidak anggap bertemu lawan seperti UKM FC sesuatu yang mudah bagi Kelantan. Kami tetap fokus seperti biasa, sebagaimana ketika bertemu dua pasukan, Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi liga sebelum ini.

“Saya juga mahu pemain memanfaatkan perlawanan ini dengan mempertingkatkan prestasi pasukan. Mereka (pemain) seharusnya beraksi lebih bagus berbanding dua perlawanan lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih berusia 54 tahun itu memberitahu, dia belum buat keputusan sama ada mengekalkan Dramane Troare dan Blazhe Ilijoski untuk mengetuai jentera penggempur skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

“Bibir Ilijoski terkoyak dan terpaksa menerima jahitan selepas dikasari dalam pertemuan dengan PDRM tempoh hari. Saya akan tengok kecederaan Ilijoski dalam latihan petang ini (semalam), kalau tak sempat sembuh, saya akan rombak posisi serangan itu.

“Begitu juga Brendan Gan, dia tidak beraksi dalam perlawanan lalu akibat demam. Tapi ikut laporan doktor, dia sudah pulih dan dijangka kembali berlatih hari ini (semalam),” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget