Selasa, 5 Januari 2016

Turaev ikat kontrak setahun bersama FELDA United

Teka teki mengenai tenaga import FELDA United akhirnya terjawab, apabila pasukan kelab penuh potensi tanah air itu mengikat tonggak tengah dari Uzbekistan Lutfulla Turaev dengan kontrak selama setahun hari ini.

Timbalan Presiden FELDA United, Datuk Mohd Isa Abu Kasim, berkata pemain berusia 27 tahun itu yang sebelum ini mewakili kelab Lokomotiv Tashkent akan beraksi di bahagian tengah.

Katanya, satu lagi slot akan menjadi milik pertahanan dari Brazil tetapi beliau belum sedia mendedahkan nama pemain terbabit. "Kami sudah mengenal pasti dua pemain import ini sejak musim lalu lagi, namun setakat ini hanya Turaev yang sudah tiba.

"Seorang lagi pertahanan import dari Brazil akan tiba sebelum 21 Januari dan saya yakin dengan kehadiran mereka mampu membantu pasukan mencapai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi)," katanya pada majlis sidang media di Dewan Perdana FELDA, di sini, sebentar tadi.

Kehadiran mereka melengkapkan kuota import pasukan berpangkalan di Jengka, Pahang itu yang menggugurkan Makeche Ndumba dan Bojan Milandinovic selepas tamat saingan Liga-M musim lalu. Sebelum ini, Setiausaha Agungnya, Zulkarnain Muhammad mengesahkan dua pemain import FELDA United Augusto Fernandes dan Zah Rahan Krangar sah akan kekal untuk musim ini.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget