Selasa, 5 Januari 2016

Lebih minat wakili kelab berbanding Skuad Projek 2017

Penyerang Muhammad Jafri Firdaus Chew tiada pilihan selain meletakkan nasibnya di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun mengharapkan dia dapat menyarung jersi pasukan kelab Liga Super berbanding 'Skuad Projek 2017'.

Bekas penyerang Harimau Muda C, Jafri menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan menjangkakan musim yang bersinar bersama skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Malaysia.

Namun kehadiran Skuad Projek 2017 dalam Liga Malaysia menjejaskan impiannya namun dia menegaskan akan kekal komited bersama mana-mana pasukan yang ditetapkan buatnya.

"Terpulang kepada FAM untuk membuat keputusan, namun saya lebih berminat mewakili Pulau Pinang kerana mereka bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim ini dan saya mahu merasai pengalaman sedemikian," katanya.

Berbeza pula pandangan disuarakan rakan sepasukannya, R. Kogileswaran yang menyatakan kesediaan beraksi bersama skuad muda negara walaupun sudah mengikat kontrak dua tahun dengan Pahang, baru-baru ini.

"Terpulang kepada FAM untuk memutuskan mengenai perkara ini, namun saya mengharapkan mereka dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk perjalanan karier saya," katanya yang pernah mewakili Harimau Muda C.

Media tempatan sebelum ini melaporkan keluhan bekas pemain Harimau Muda B, Adam Nor Azlin yang agak keliru dengan perjalanan kariernya susulan keputusan FAM membubarkan program Harimau Muda dan mewujudkan skuad Projek 2017 yang bakal beraksi dalam Liga FAM sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017.

Kewujudan skuad Projek 2017 nyata menimbulkan persoalan kepada beliau yang sah menyarung jersi Selangor, musim ini selain beberapa bekas pemain skuad Harimau Muda B dan C yang dilaporkan sudah menandatangani kontrak dengan pasukan negeri masing-masing.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget