Selasa, 5 Januari 2016

Selangor mahu kekalkan Piala Malaysia dan juarai Liga Super 2016

Selangor mahu mengekalkan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu dan muncul juara Liga Super pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bermula Februari ini.

Itu sasaran gergasi bola sepak tempatan, Merah Kuning musim ini sekali gus menjadikan dua trofi itu sebagai menjadi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang perlu dipenuhi pengendali Selangor yang baharu, Zainal Abidin Hassan.

Pengurus pasukan, Amirudin Shari, berkata sasaran itu dilihat realistik dengan melihat kepada barisan pemain berkualiti yang dimiliki Selangor untuk saingan kali ini.

“Kita tidak mahu lagi menjadi sekadar naib juara atau ketiga kerana inilah masanya kami menjadi pencabar kejuaraan kepada pasukan lain dalam Liga Super.

“Berbekalkan pengalaman Zainal, saya optimis sasaran yang diletakkan ini dapat dicapai sekali gus mengembalikan semula Selangor selaku gergasi bola sepak tempatan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Mini Shah Alam.

Mengulas lanjut mengenai pemain import keempat Merah Kuning, Amirudin berkata pemain terbabit akan tiba di negara ini hari ini dan bakal menyertai sesi latihan bersama pasukan, esok.

“Import keempat itu ialah pemain kelahiran Argentina dan bakal mengisi slot selaku penyerang dan pernah beraksi di liga utama Chile.

“Kita jangka urusan perpindahannya bakal selesai dalam minggu ini dan pengumuman rasminya sebagai import terbaharu Selangor akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan,” katanya.

Selain itu, Amirudin juga merancang untuk mencari seorang lagi pemain tempatan untuk menyempurnakan senarai 25 pemain bagi skuad Selangor musim ini.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget