Khamis, 14 Januari 2016

SAFA terkejut Rozaimi ke JDT

Pengurus Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan terkejut dengan keputusan bekas pemain Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman yang menandatangani kontrak tiga tahun dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ini kerana, katanya, penyerang berusia 23 tahun itu sebelum ini telah menyatakan persetujuan untuk kekal menyarung jersi Sang Badak dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Saya terkejut mendengar berita itu (Rozami ikat kontrak dengan JDT), sebelum ini kami telah melakukan perbincangan awal dan dia (Rozaimi) bersetuju untuk bermain dengan Sabah musim depan.

"Kami juga tidak pernah mengatakan enggan mendapatkan khidmat Rozaimi...saya akan menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ditemui selepas perlawanan persahabatan antara skuad Sabah dengan DYS FC di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Dalam perlawanan persahabatan itu, skuad kendalian Vjeran Simunic menewaskan DYS FC 2-0 hasil jaringan Leopold Alfonso Otong dan Shafie Talip.

Sementara itu, Simunic meluahkan rasa kesal dengan penghijrahan Rozaimi ke JDT kerana masih yakin pemain yang pernah dinobat 10 pemain terbaik Asia pada tahun 2012 mampu kembali kepada prestasi asalnya.

Pengendali berusia 61 tahun itu turut mengakui pemergian Rozaimi adalah akibat kesilapannya sendiri sehingga menyebabkan pemain itu disambar pasukan lain.

"Ia kesilapan saya, saya katakan Rozaimi masih boleh menjadi seorang pemain yang bagus dalam media, jika saya tidak memberinya peluang untuk beraksi mungkin tiada pasukan mengambil perhatian.

"Bagaimanapun, rakyat Malaysia menghormati pendapat saya mengenai Rozaimi dan mereka (JDT) mengikatnya serta-merta," katanya.

Sebelum ini, Simunic menyatakan keyakinan terhadap Rozaimi serta berhasrat mendapatkan khidmatnya walaupun mendakwa ada pihak meragui tahap prestasi pemain itu.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget