Khamis, 14 Januari 2016

Pemain bolasepak bukan ternakan

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengingatkan pengurus pasukan bola sepak tempatan supaya tidak terlalu ghairah mendapatkan penaja untuk memantapkan pasukan.

Baginda berkata, pengurus pasukan perlu menyelesaikan hutang pasukan yang tertunggak terlebih dahulu apabila mendapat tajaan, berbanding keghairahan mengejar trofi semata-mata sehingga melupakan nasib pemain dan jurulatih, di mana gaji mereka tertunggak sejak sekian lama.

Ini kerana, kata baginda, pemain dan jurulatih bola sepak mempunyai keluarga untuk disara dan mereka ini manusia, bukan ternakan.

“Kehadiran ramai hartawan dan jutawan yang ingin memberi tajaan kepada pasukan atau kelab bola sepak akhir-akhir ini menunjukkan satu perkara yang positif terhadap sukan bola sepak.

“Semua pasukan dilihat begitu ghairah mendapatkan tajaan daripada mereka untuk memantapkan pasukan mereka. Tetapi, saya mengharapkan agar pihak pengurusan tidak melupakan keutamaan dalam membayar balik hutang sedia ada.

“Saya sebagai Penaung Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Malaysia, tahu berapa ramai pemain dan daripada pasukan mana yang masih belum dibayar gaji. Usahlah terlalu mengejarkan trofi semata-mata sehingga melupakan perkara yang lebih penting,” tulis baginda di akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Vida bersetuju menaja pasukan bola sepak Kelantan dan terbaharu, pengasas D’herbs Terlajak Laris, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menyatakan kesediaan menaja pasukan Selangor.

Nama pemilik Nouvelles Visages, Rita Sosilawati dan tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga dikaitkan dengan tajaan pasukan bola sepak tempatan.

Sumber : mstar

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget