Berbaki dua minggu lagi, tekanan dihadapi pihak berkenaan kerana bimbang kerja-kerja naik taraf awal itu tergendala disebabkan faktor cuaca tidak menentu.
Pengarah Impian Berkat Trading Mohd Halizan Ab Halim berkata, kini lebih 50 pekerjanya bekerja siang dan malam menyelesaikan tugasan berkenaan sejak lebih seminggu lalu.
“Tapi sejak Rabu lalu, hujan dan angin kencang membuatkan kerja kami sedikit terjejas dan perlu ditangguhkan sementara. Kami baru siap 30 peratus dan baki 70 peratus masih dalam proses pembikinan.
“Bunyi mudah, mengecat saja, tapi sebenarnya banyak aspek perlu diambil kira sekiranya mahu hasil berkualiti termasuk mengikis cat lama, membuang karat pada besi di setiap pagar dan menggunakan penyembur berkuasa tinggi untuk buang lumut dan kotoran.
“Mengecat perlu dilakukan pada waktu panas terik bagi memastikan cat luar berwarna putih tahan lama. Kalau dijalankan ketika hujan, dibimbangi cat mudah rosak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Halizan berkata beliau memantau pekerjanya setiap hari bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Jika hujan, kami sambung kerja di bahagian dalam di kawasan bertutup dulu,” katanya.
Stadium yang menjadi ikon Kelantan itu perlu diubah wajah, susulan 35 syarat dikenakan penaja utama pasukan bola sepak Kelantan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida sebelum menaja pasukan itu selama dua musim babitkan peruntukan RM16 juta.
Beliau memperuntukkan RM1 juta untuk kerja naik taraf stadium yang akan dicat dengan warna merah jambu dan putih selain mempunyai kemudahan asas lebih sempurna.
Mengulas lanjut, Mohd Halizan berkata, masalah turut dihadapi apabila mahu mengecat tempat duduk di astaka yang majoriti sudah dimamah usia.
“Masalah ini saya sudah maklumkan kepada KAFA (Persatuan BolaSepak Kelantan). Selain itu, 8,000 liter cat putih dan merah jambu sudah ditempah dan dijangka tiba Sabtu ini.
“Namun sedikit kekeliruan timbul apabila saya difahamkan Dr Vida tidak berkenan dengan warna merah jambu apabila ditunjukkan kepadanya minggu lalu. Bimbang juga jika perlu menempah cat lain kerana besar kemungkinan rugi RM100,000.
PEKERJA giat menjalankan kerja mengecat pagar. |
“Apapun saya masih menunggu arahan selanjutnya,” katanya.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan