Selasa, 12 Januari 2016

Kenyataan Presiden PFAM mengenai penswastaan liga dan isu kontrak pemain

PENDAHULUAN

1. Saya mulakan kenyataan saya ini dengan mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua peminat bolasepak Malaysia dan juga kepada semua yang telah menyokong perjuangan PFAM selama ini.

2. 2016 sememangnya merupakan tahun yang amat dinanti oleh semua pemegang taruh bolasepak Malaysia kerana tahun ini bakal menyaksikan liga tempatan kita diswastakan setelah sekian lama diselia oleh FAM.

3. Umum mengetahui, betapa tujuan penswastaan ini adalah untuk membantu meningkatkan nilai komersial bolasepak negara dan secara jangka panjangnya, dengan melalui beberapa proses evolusi yang dipercayai boleh dilakukan menerusi peningkatan kuasa nilai komersial, mampu untuk meningkatkan mutu bolasepak Malaysia.

4. Secara jujur dan tanpa sekelumit rasa prejudis terhadap niat utama penswastaan ini, saya bersetuju dengan langkah transformasi yang ingin kita lakukan.

5. Pun begitu, dengan perasaan jujur dan tanpa prejudis yang sama juga, saya melihat, di sebalik usaha keras yang ditonjolkan oleh seluruh warga kerja FM-LLP dalam memahamkan kita berkenaan penswastaan liga dan juga menyusun stuktur dan penjenamaan liga, ruang untuk mengisi kelompongan dalam isu pematuhan kontrak terutamanya berkenaan pembayaran gaji kepada para pemain masih mempunyai kesenjangan yang amat ketara – dan perkara ini secara jelas dan amat mendukacitakan, tidak disentuh oleh pihak FM-LLP.

CADANGAN

10. Saya berpendapat, sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kuasa untuk menganjurkan sesebuah pertandingan, FM-LLP sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk membela nasib pemain dan FM-LLP sepatutnya melihat perkara ini sebagai sebahagian kaedah untuk menjaga integriti liga kita.

11. Sehubungan itu, dengan dada yang terbuka, saya ingin mencadangkan beberapa mekanisme yang boleh dilaksanakan oleh FM-LLP bagi menjaga kebajikan pemain.

12. Secara umumnya, bayaran tertunggak adalah bayaran yang tidak dibuat mengikut terma yang dipersetujui dan pada tarikh yang ditetapkan, sesuatu bayaran tidak dianggap tertunggak sekiranya :

(a) jumlah dibayar secara penuh; atau
(b) adanya perjanjian bertulis untuk memanjangkan tempoh tarikh pembayaran dibuat; atau
(c) terdapatnya tuntutan perundangan atau sebarang prosiding yang relevan – dengan pasukan berjaya buktikan bahawa prosiding ini bukan bertujuan untuk melengahkan pembayaran.

Oleh hal yang demikian, sekiranya perkara-perkara di atas tidak dipenuhi, maka ia terangkum sebagai bayaran tertunggak dan inilah yang memerlukan kaedah utuk membanterasnya.

13. Antara langkah atau mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi membantu ke arah penyelesaian tunggakan gaji para pemain dari berulang adalah seperti pemotongan geran kepada pasukan, pemotongan hadiah kemenangan atau juga pemotongan wang penyiaran untuk menyelesaikan masalah gaji pemain. Dalam erti kata yang lain, wang tersebut akan terus diserahkan kepada para pemain dan bakinya barulah diberikan kepada pasukan.

14. Selain itu, penalti seperti pemotongan mata liga juga boleh dikenakan bagi pasukan yang gagal membayar gaji pemain tepat pada waktunya atau mempunyai tunggakan yang melebihi dua bulan.

15. Memperkenalkan sistem kawalan kewangan yang lebih berdisiplin dan rasional dengan menggalakkan pasukan untuk beroperasi berdasarkan kapasiti kewangan mereka.

16. Menggalakkan juga pasukan untuk membuat pelaburan jangka panjang bagi menjamin keupayaan kewangan yang stabil.

17. Memastikan pasukan melunaskan tanggungjawab mereka seperti menyelesaikan segala hutang kepada pemain sebelum bermula musim baharu. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pasukan berkenaan tidak boleh menyertai saingan seterusnya.

18. Di samping itu, adalah wajar juga untuk sebuah badan ditubuhkan bagi mengawal selia kewangan dan pengurusan gaji pasukan-pasukan agar ia tidak menganiaya pemain. PFAM mencadangkan agar setiap pasukan dikenakan syarat dimana jumlah perbelanjaan gaji mestilah tidak lebih dari 60% dari jumlah keseluruhan perbelanjaan pasukan.

19. Selain itu, turut dicadangkan, agar setiap pasukan wajib mempunyai jaminan bank sebelum boleh didaftarkan dalam saingan liga agar pemain masih dibayar gaji sekiranya pasukan mempunyai masalah kewangan.

20. Mungkin cadangan ini dianggap drastik dan radikal, tapi saya percaya, sekiranya kita benar-benar serius untuk memerangi isu tunggakan gaji pemain, cadangan ini perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya.

HARAPAN

21. Akhir kata, tiada salahnya untuk membuat sesuatu perubahan, dan sebaik-baik perubahan adalah perubahan yang memberi manfaat. Sebagai wakil setiap pemain bolasepak profesional di Malaysia, saya mengharapkan agar isu tunggakan gaji pemain ini tidak akan berulang lagi dalam saingan liga swasta 2016.

22. PFAM amat bersedia untuk berkerjasama dengan FM-LLP bagi mencari penawar mujarab untuk isu ini. Selamat datang 2016, semoga kita tidak pincang dalam melangkah.

Hairuddin Omar
Presiden
PFA Malaysia

Sumber : facebook PFAM Malaysia

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget