Selasa, 12 Januari 2016

Frenz United mahu Pahang pulangkan dua pemainnya

Kelab bola sepak Frenz United meminta Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memulangkan dua pemainnya yang masih mempunyai baki kontrak bersama kelab berkenaan sehingga 2019.

Pemilik Frenz United, Rashid Maidin, berkata Kogileswaran Raj, 17, dan R. Dinesh, 17, yang juga bekas pemain Harimau Muda C, masih mempunyai baki kontrak bersama kelab berkenaan sehingga Januari dan Mac 2019, selepas kedua-duanya menandatangani kontrak selama lima tahun pada Januari dan Mac 2014.

"Kami dapati nama Kogileswaran dan Dinesh berada dalam senarai dikeluarkan PBNP minggu lepas dan sehubungan itu, saya minta kedua-duanya supaya pulang ke Akademi Bola Sepak Frenz United di Janda Baik, Pahang, sehingga tengah malam ini atau mereka bakal berdepan tindakan undang-undang," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Rashid berkata Kogileswaran dan Dinesh sepatutnya pulang ke akademi itu setelah skuad Harimau Muda C dibubarkan, dan bukannya bebas menyertai mana-mana pasukan kerana kedua-duanya masih mempunyai baki kontrak.

Beliau berkata pihaknya sudah mengemukakan surat kepada PBNP pada 5 Jan lepas, memaklumkan situasi berkenaan, namun belum menerima maklum balas mengenai perkara itu.

Menyifatkan perkara itu sebagai tidak beretika, beliau berkata salinan surat berkenaan turut dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai makluman yang sama.

"Frenz United sudah membelanjakan lebih RM100,000 untuk kedua-dua pemain itu dengan membayar gaji dan bonus dalam tempoh dua tahun. "Saya sudah berjumpa dengan penjaga kedua-dua pemain, namun mereka memberi gambaran seolah-olah kontrak ditandatangani kedua-dua pemain itu hanya untuk tempoh dua tahun dan bukannya lima tahun," katanya dengan nada kecewa.

Kogileswaran mula bersinar apabila penyerang utama skuad Harimau Muda C (Bawah 19) itu, terpilih antara 23 pemain bagi mewakili Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-19 di Vientiane, Laos tahun lepas.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget