Rabu, 13 Januari 2016

Negeri Sembilan sasar Liga Super 2017

Negeri Sembilan meletak sasaran layak ke Liga Super musim depan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata sasaran itu tidak mustahil dicapai berdasarkan persiapan rapi yang diatur pada musim ini.

"Pada musim ini kita membariskan pemain yang kebanyakannya berusia 25 tahun ke bawah dibimbing oleh jurulatih dari Australia. Saya yakin pasukan ini akan membawa prestasi Negeri Sembilan ke peringkat lebih baik.

"Kali ini kita pilih lebih ramai pemain muda yang dahagakan untuk beraksi dan memasukkan beberapa pemain senior untuk memberi tunjuk ajar," katanya pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain Liga Perdana dan Piala Presiden Negeri Sembilan 2016, di sini hari ini.

Selain itu, Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata pemilihan pemain import dan jurulatih dari negara yang sama iaitu Australia bagi memastikan mereka mempunyai persefahaman dan bukannya bermain untuk mengejar nama atau kepentingan individu.

Katanya empat pemain import dari beberapa kelab bola sepak di Australia yang memperkuatkan Negeri Sembilan ialah Alex Smith, Joel Joseph Chianese, Andrew Nabbout dan Taylor Regan yang dilantik sebagai kapten pasukan.

Selain daripada menggunakan khidmat pemain import dari sebuah negara antara pembaharuan yang ditampilkan pada musim ini adalah pertukaran nama pasukan daripada NS Matrix kepada pasukan Negeri Sembilan.

"Kita gunakan nama negeri kerana saya yakin ini akan dapat menyuntik semangat sebagai sebagai sebuah pasukan yang bermain untuk mewakili negeri dan bukannya mengejar populariti individu. "Saya juga yakin dengan kepimpinan dan barisan pemain serta jurulatih yang berkaliber, Negeri Sembilan boleh memberi saingan yang baik bukan sahaja dalam Liga Perdana Tetapi juga Piala FA dan Piala Malaysia," kata Mohamad.

Menurut beliau penaja utama pasukan itu musim ini ialah Matrix Concept Holding Bhd dan penaja lain ialah Negeri Roadstone Sdn Bhd, Hospital Pakar Salam dan Mizuno.

Sumber : hmetro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget