Rabu, 13 Januari 2016

Zainal amal corak latihan keras

PENGENDALI Selangor, Zainal Abidin Hassan mengakui mengamalkan corak latihan keras bagi persediaan pemain menghadapi saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, latihan keras tersebut diperlukan sekiranya Red Giants ingin mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

“Di awal latihan memang agak keras. Tidak dinafikan. Saya telah melalui semua ini, selepas menjadi juara, pemain perlu meningkatkan corak permainan ke tahap lebih tinggi. Atas sebab itu saya terapkan corak latihan lebih keras.

“Pemain juga perlu sedar, pasukan lain akan hadir lebih kuat untuk merampas kejuaraan yang telah kita pegang ini,” katanya, semalam.

Namun, tegas Zainal Abidin, corak latihan keras yang diterapkannya itu diterima positif oleh pemain, selain beliau sendiri memastikan konsep latihan itu tidak memberikan tekanan kepada pemain.

Sebelum ini, sebuah portal berita sukan melaporkan, seorang pemain Selangor mengakui latihan kendalian Zainal Abidin sedikit keras berbanding ketika dikendalikan oleh Mehmet Durakovic, tetapi berjalan lancar kerana pemain senang memahami arahan Zainal Abidin.

Tinjauan Sinar Harian pada minggu kedua latihan skuad Red Giants di Stadium Mini Shah Alam, semalam juga memperlihatkan corak latihan yang lebih keras dan pantas dipraktikkan kepada pemain.

Bekas pengendali Pahang itu berkata, pengalaman bersama skuad Tok Gajah sebelum ini akan dijadikan kayu ukuran dalam membimbing Selangor.

“Pemain perlu meningkatkan keupayaan daripada semua sudut iaitu permainan, fizikal dan sebagainya. Jika tidak ditingkatkan dari awal, saya bimbang pemain akan lebih tertekan selepas ini,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan latihan, Zainal Abidin berkata, sesi latihan lebih tertumpu kepada fizikal pemain.

“Saya lihat ada banyak peningkatan dari sehari ke sehari. Selepas bercuti panjang, tahap fizikal mereka perlu kembali baik untuk memulakan saingan,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin  mengesahkan  import keempatnya, Mauro Olivi sah menyertai skuadnya semalam dengan kontrak selama satu musim.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget