Rabu, 13 Januari 2016

Rundingan kerjasama JDT, Frenz United hampir dicapai

RUNDINGAN kerjasama antara Kelab Bola Sepak Frenz United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah hampir mencapai persetujuan dan difahamkan mungkin terus berjalan mulai tahun ini.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kerjasama akan berterusan dalam tempoh lama kerana visi kedua-dua kelab adalah sama, ingin pembangunan bola sepak bermula dari akar umbi.

Menurutnya, rundingan kolaborasi sudah menjangkau 99.9 peratus itu, sangat mustahak dalam arena bola sepak tanah air dan langsung tidak berunsur politik.

“Kerjasama yang kami lakukan ini untuk mencipta tapak bagi proses pembangunan bola sepak yang baru, dengan menyemat pengurusan bola sepak yang bersih penuh integriti dan profesional.

“Bagi tempoh kerjasama pula, saya memang suka dalam tempoh yang lama mungkin pembaharuan perjanjian setiap lima tahun selain perbincangan yang boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui bersama pemilik Frenz United, Rashid Maidin di Hotel Thistle, semalam.

Tunku Ismail berkata, melalui rundingan itu juga, Frenz United bakal menerima pelbagai manfaat antaranya berkongsi dan menggunakan beberapa fasiliti milik JDT.

“Kerjasama ini sahaja akan membuka peluang kepada Frenz United untuk menggunakan fasiliti yang ada di akademi kami atau di JDT II, dan JDT III. Mereka juga dibenarkan menggunakan Stadium Pasir Gudang secara percuma.

“Selain itu, di akademi baru JDT yang terletak bersebelahan Johor Premium Outlet (JPO) mungkin dibina 20 padang berserta infrastruktur di mana dua daripadanya akan diberikan kepada Frenz United untuk menggilap pemainnya,” katanya.

Beliau turut memberitahu perjanjian bersama itu akan mempunyai satu perjanjian khas yang dikatakan penting untuk masa depan bola sepak negara.

“Kita akan buat satu perjanjian, pemain di Frenz United boleh diserapkan ke dalam skuad utama iaitu JDT. Kelab kami juga akan mempunyai hak kepada semua pemain di Frenz,” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget