Jumaat, 15 Januari 2016

'Hantaran' Selangor mahal : Terlajak Laris

KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengakui nilai 'hantaran' tinggi diletakkan Selangor antara faktor dia terpaksa memikirkan secara mendalam sebelum bersetuju menjadi penaja pasukan juara Piala Malaysia itu.

Hanya menjelaskan nilai penajaan itu mencecah jutaan ringgit, usahawan muda terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu mengambil keputusan untuk mengkaji semua pilihan yang ada termasuk perbincangan dengan Selangor, Pahang dan beberapa pasukan lain.

Malah, Aliff berkata, dia mungkin akan mempertimbangkan keputusan untuk menaja pasukan yang dilihat sesuai dengan kemampuan selain dapat memberi impak kepada produknya. "Semalam (kelmarin) baru bincang (dengan Selangor), saya pun nak tahu juga lamaran dia.

Saya bincang nak tanya pasal hantaran (kos penajaan), tetapi hantarannya mahal sangat. "Maklumlah Selangor ada ramai pemain hebat dan mereka akan bermain di peringkat Asia (Piala AFC). Jadi hantarannya mahal dan syaratnya juga ketat.

Saya hanya boleh katakan nilainya jutaan ringgit. "Saya pun tidak janji apa-apa sebab jumlah (dana) besar, saya bukannya ada lombong emas, saya bukan jual kereta, saya jual kosmetik saja. Jadi saya hanya akan fikir yang mana termampu," katanya yang mengakui pernah mendapat tawaran daripada Kelantan.

Ketika berbincang perkara sama dengan skuad Pahang di Kuantan kelmarin, Aliff turut berhemat mengkaji jumlah tajaan yang dikaitkan dengan pasukan Tok gajah itu. Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC Berhad, Fahrizal Hasan berkata, pertemuan itu bukannya rasmi sebaliknya secara santai tetapi tiada keputusan muktamad berhubung proses penajaan.  

Katanya, segala-galanya masih di peringkat awal dan tiada kata putus sama ada syarikat  berkenaan akan menjadi penaja skuad Pahang kerana proses penajaan itu perlu dilakukan secara profesional.   

"Apa yang boleh saya katakan adalah memang ada pertemuan semalam (kelmarin) dan hasil pertemuan itu belum mengesahkan bahawa syarikat D'Herbs Holding akan menaja Pahang musim ini," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget