Jumaat, 29 Januari 2016

Azidan tekad bantu KL ke Liga Super 2017

"Saya bertekad untuk membantu Kuala Lumpur layak ke Liga Super 2017 kerana mereka sanggup menerima saya kembali walaupun masih bergelut dengan kecederaan lutut," kata Azidan Sarudin.

Demikian luahan bekas pemain Pahang yang terharu dengan kesanggupan bekas pasukannya yang bersetuju menggunakan khidmatnya walaupun kini sedang bergelut untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen lutut 'Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya ketika bersama skuad Tok Gajah, musim lepas.

Azidan yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pasukan bola sepak Kuala Lumpur atau 'The Hawks' malam tadi, mengakui jurulatih baharu Kuala Lumpur, Ismail Zakaria menjadi individu penting yang mendorong beliau untuk kembali berkhidmat dengan pasukan yang pernah membantu meningkatkan karier bola sepaknya.

"Insya-Allah, segala pengalaman yang saya raih dengan beberapa pasukan sebelum ini akan saya gunakan untuk membantu pemain-pemain muda dalam pasukan ini," kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Dalam pada itu, Ismail menafikan beliau mengambil Azidan kerana sedih melihat pemain berkenaan tetapi yakin dengan keupayaan pemain beliau terutamanya dalam membimbing sebahagian besar pemain muda dalam pasukan musim ini.

"Setelah doktor (pasukan) melakukan penilaian terhadap Azidan, saya yakin beliau masih boleh beraksi cuma beliau perlukan tempoh dalam sebulan, dua lagi sebelum kembali pulih sepenuhnya," katanya.

Ismail yang juga bekas jurulatih Sime Darby FC yakin sasaran layak ke Liga Super 2017 sebagaimana yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dapat dicapai menerusi gandingan pemain senior dan baharu dalam pasukan berkenaan.

"Setakat ini, saya gembira kerana diberi peluang sepenuhnya tanpa sebarang gangguan, jadi apa yang diberi oleh pasukan tercapai cuma sekarang ada mencari keserasian permainan antara pemain senior dan muda.

"Sokongan penaja kepada pasukan amat memberangsangkan namun bagi saya komitmen daripada semua pasukan itu lebih penting untuk membantu pasukan meraih tempat dalam Liga Super 2017 itu tercapai," kata Ismail.

Berkongsi pandangan sama, ketua pasukan Ahmad Azlan Zainal yang menyifatkan skuad The Hawks mampu memberikan cabaran kepada pasukan lain bagi memburu slot ke Liga Super 2017.

"Semua pemain begitu bersemangat untuk menaikkan kembali nama Kuala Lumpur dalam kancah bola sepak tempatan sebagaimana yang mereka pamerkan dalam beberapa aksi persahabatan pra-musim sebelum ini...selain berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan," kata Ahmad Azlan yang pernah mewakili beberapa pasukan sebelum ini seperti Perak, Kelantan, Terengganu dan PKNS FC.

Skuad 'The Hawks' yang dipercayai mendapat tajaan RM12 juta daripada beberapa syarikat korporat turut diperkuatkan dengan empat pemain import termasuk pemain import tunggal yang dikekalkan iaitu Modibo Konte dari Mali bagi mengharungi saingan Liga Malaysia, musim ini.

Pemain import lain ialah Leonardo Moreira de Carvalho dan Anselmo Arruda da Silva dari Brazil serta bekas pemain import Angkatan Tentera Malaysia, Mario Karlovic dari Australia.

Sumber : bernama

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget