SHAH ALAM: Selangor kemungkinan besar bakal kehilangan khidmat pertahanan kiri, Raimi Md Nor pada final Piala Malaysia menentang Kedah akibat kecederaan pangkal paha ketika sesi latihan pagi tadi.
Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic mengesahkan perkara terbabit ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan Selangor di Padang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini. Namun, katanya, masih terlalu awal untuk dia mengulas lanjut berhubung kecederaan yang dialami pemainnya itu.
“Raimi mengadu kesakitan ketika berlari dan menyepak bola, jadi dia terus dikecualikan daripada sesi latihan.
“Kita akan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui sejauh mana kecederaan yang dialaminya terlebih dahulu.
“Jika dilihat secara luaran, nampak kelihatan tidak serius tetapi saya tidak dapat memberi jaminan sama ada dia boleh bermain pada perlawanan akhir atau tidak,” katanya.
Durakovic berkata, beliau berharap kecederaan yang dialami Raimi tidak serius supaya dia boleh diturunkan pada aksi akhir Sabtu ini.
“Dia antara pemain terbaik saya musim ini, jadi khidmatnya akan diperlukan untuk mengekang Kedah pada aksi akhir nanti,” katanya. Sesi latihan yang dijalankan pagi tadi disertai oleh semua pemain utama dengan latihan lebih memfokuskan latihan ringan dan juga latihan kecergasan.
Sumber : Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan