Sabtu, 26 Disember 2015

Fauzi tekad bangkit bersama Pahang

Penyerang Pahang, Mohd Fauzi Roslan, berazam untuk kembali memperkasakan skuad Tok Gajah bagi mengharungi cabaran saingan Liga Malaysia musim 2016.

Pemain berusia 27 tahun dan kelahiran Pekan, Pahang itu berkata, prestasi tidak menentu sepanjang musim ini, termasuk dihimpit masalah kecederaan memperlihatkan kelibatnya tidak begitu menonjol.

“Saya percaya musim 2016 akan memberi lebih peluang kepada saya untuk berada dalam kesebelasan utama bersama rakan baharu selepas beberapa pemain utama pindah.

“Biarpun akur dengan penghijrahan beberapa rakan, saya percaya ada rezeki di sebaliknya. Tetapi ketiadaan mereka begitu dirasai kerana saya sudah lama bersama.

“Perasaan sedih itu memang ada kerana kami sudah seperti satu keluarga, namun saya akur dan mengharapkan mereka berjaya bersama pasukan baharu,” katanya.

Mengulas pelantikan Ahmad Shaharuddin Rosdi selaku jurulatih baharu Pahang, Mohd Fauzi percaya dengan kemampuan bekas penolong jurulatih Tok Gajah itu. Sebagai pemain, dia akan memberikan sepenuh komitmen serta akan bekerjasama dengan barisan pemain baharu.

“Saya juga percaya beberapa pemain muda akan dibawa masuk dan pasti kami perlu lebih cepat serasi untuk membentuk pasukan yang serba mantap untuk memberi saingan kepada lawan,” katanya.

Sumber: bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget