Selasa, 29 Disember 2015

FAS usah berteka-teki

Usah berteka-teki, itulah luahan penyokong pasukan Selangor kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) agar mengumuman segera siapakah jurulatih yang akan mengendalikan pasukan itu.

Selepas beberapa laporan mengenai jurulatih sebelum ini, Mehmet Durakovic yang dikatakan meninggalkan The Red Giants.

Khabar angin lain pula semakin kencang mengatakan bekas jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan bakal menggantikan posisi Mehmet.

"Apa yang FAS perlu lakukan adalah memilih jurulatih yang lebih baik untuk perubahan besar pasukan berdepan musim depan.

"Lebih-lebih lagi Selangor bakal beraksi di saingan Piala AFC," kata Presiden Anak Selangor Fans Club, Mohd Faizal Wahid.

Menurutnya, selama dua tahun di bawah kendalian Mehmet, juara 33 kali Piala Malaysia itu dilihat kurang memberi impak positif.

"Memang selama dua tahun ini taktikal yang diterapkan Mehmet kurang berkesan dan membosankan.

"Beliau juga tidak berjaya meraih apa-apa gelaran kecuali Piala Malaysia baru-baru ini. Itupun hanya menggunakan pemain sedia ada, tanpa pemain yang boleh dianggap bintang," katanya.

Justeru itu katanya, dengan kehadiran jurulatih baru diharap dapat membawa masuk pemain berkualiti bagi mengharungi cabaran 2016.

"Rasanya FAS sudah buat keputusan siapa akan melatih pasukan selangor, tetapi masih berteka-teki.

"Sebagai penyokong kita terpaksa akur pilihan FAS dengan harapan jurulatih tersebut membawa pembaharuan," jelasnya.

Laporan media sebelum ini mengatakan Mehmet bakal ditamatkan perkhidmatannya walaupun kontrak masih berbaki setahun dan FAS terpaksa membayar pampasan RM1 juta kepada jurulatih dari Australia itu.

Sementara itu, mengulas kemungkinan Zainal Abidin bakal mengemudi pasukan itu, Mohd Faizal berkata, langkah itu perlu disambut baik.

"Beliau (Zainal) sudah terbukti mempunyai kelebihan dengan idea-idea taktikal menarik seperti mana permainan pasukan pahang sebelum ini.

"Apa yang penting sekarang, FAS perlu umumkan dengan kadar segera supaya tidak menimbulkan tanda tanya dan keraguan di kalangan peminat," tambahnya.

Sumber : malaysiakini

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget