Selasa, 29 Disember 2015

Belanja berhemah hadapi musim 2016 : Presiden PBNJ

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengambil pendekatan berhemah dalam berbelanja dalam mempersiapkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan musim depan.

Selaras dengan kepesatan dan kesungguhan pasukan lain menyiapkan pasukan, pengurusan PBNJ tetap mahu JDT kekal berdaya saing.

Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim berkata saingan musim depan pasti menjadi lebih sukar berbanding sebelumnya ketika kelab dan persatuan lain mula dilihat berbelanja besar memantapkan pasukan.

"PBNJ akan memastikan JDT kekal bersaing bersama kelab-kelab dan persatuan bola sepak mewah lain seperti Pahang, Terengganu, FELDA United dan Selangor.

"Untuk mengekalkan daya saing, ia perlu diuruskan dengan berhemah dan menjadi tanggungjawab PBNJ untuk memastikan kelangsungan kelab tersebut," katanya menerusi laman sosial Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam.

Skuad Harimau Selatan pastinya muncul antara pasukan yang perlu diberi perhatian dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selain mencipta sejarah muncul pasukan Asia Tenggara pertama menjuarai Piala AFC, JDT juga turut menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan trofi kejuaraan Liga Super dalam saingan domestik.

"Pastikan anda sebagai penyokong kekal memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada persatuan agar ia terus kekal sebagaimana visi dan misi ditetapkan oleh Penaung Diraja PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim," katanya.

Sumber : bharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget