Selasa, 14 Februari 2017

Piala FA : Felda United mahu tamatkan riwayat JDT

Biarpun berada dalam prestasi tidak menentu ketika ini, namun Felda United memasang misi untuk menamatkan riwayat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Piala FA apabila menerima kunjungan juara Liga Super itu pada pusingan kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.

Pemangku jurulatih The ­Fighters, Mohamad Nik berkata, kekalahan 1-3 kepada Harimau Selatan di Larkin, bulan lalu tidak sedikit pun menjejaskan mentaliti anak-anak buahnya, sebaliknya mereka turun untuk menebus aksi mengecewakan itu.

“Biarpun pernah tewas 1-3 dalam saingan Liga Super itu bukan bererti kami lemah kerana kami akan buktikan Felda United mampu menyingkirkan JDT.

“Semua pemain perlu melupakan episod duka di Larkin dan jadikan ia pengajaran untuk menang dalam perlawanan kalah mati esok (malam ini)," katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad berkata, pemain Felda juga perlu mengawal emosi dan tekanan di atas padang agar segala perancangan berjalan lancar.

“Berdepan JDT bukan tugas mudah kerana mereka dibarisi ramai pemain bintang yang mampu meruntuhkan benteng dengan mudah,” katanya lagi.

Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menjadi taruhan Felda untuk merobek gawang bekas pasukannya dan mengetuai kebangkitan The Fighters selepas ditimpa kekalahan 1-2 kepada Kelantan dalam aksi terakhir Liga Super, Sabtu lalu.

Sementara itu, keyakinan tinggi turut dilaungkan pengendali JDT, Benjamin Mora, apatah lagi pasukannya menunjukkan peningkatan prestasi dan bersedia mempertahankan kejuaraanyang dimenangi tahun lalu.

“Dalam perlawanan terdahulu, kita dapat menganalisis kekuatan dan kelemahan lawan. Dari situ, kita boleh belajar dan tahu apa yang perlu dilakukan bagi meraih kemenangan pada pertemuan esok.

“Sudah tentu mereka mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri namun itu bukan faktor penentu kejayaan. Sekiranya pemain dapat memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan dan mengikut strategi diaturkan, kita mampu menewaskan mereka.

“Bagi perlawanan esok, kita akan menggunakan taktikal permainan sama diterapkan sebelum ini dengan hanya sedikit pertukaran pemain dilakukan daripada kesebelasan utama dalam perlawanan terdahulu,” katanya.

Pengendali kelahiran Mexico itu memberitahu hanya pemain pertahanan Fadhli Shas masih dibelunggu kecederaan manakala pemain lain cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan.

Penyerang kelahiran Argentina, Gabriel Guerra yang diserap masuk dari JDT II menggantikan Jeronimo Barrales akan disenarai dalam kesebelasan utama bergandingan dengan Gonzalo Cabrera dan Brian Ferreira.

Sumber : utusan


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget