Selasa, 21 Februari 2017

Piala AFC : JDT tekad beri persembahan terbaik

Johor Darul Ta’zim (JDT) bertekad memberikan persembahan terbaik bagi mengutip tiga mata di laman sendiri bagi aksi sulung Kumpulan F Piala AFC 2017 menentang Boeung Ket Angkor FC, malam ini.

Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, dirinya percaya juara Piala AFC 2015 itu mampu melakar kemenangan di Larkin walaupun kali pertama mengendalikan pasukan bagi saingan berkenaan.

“Esok (hari ini) cabaran yang baik untuk kami tambahan pula kami bermain di tempat sendiri.

Lazada Malaysia
“Kami akan melakukan yang terbaik dan mahu melangkah lebih jauh dalam saingan ini. Kami pernah menjadi juara, oleh itu kami tidak sabar untuk memulakan saingan Piala AFC musim ini,” katanya.

Ditanya mengenai kecederaan Azamuddin Akil, Mora mengakui kehilangan khidmat pemain berkenaan  namun JDT masih mempunyai ramai pemain yang boleh menggantikan posisi berkenaan.

“Alex (Azamuddin) mengalami kecederaan kecil dan memerlukan beberapa hari untuk pulih dan kembali cergas.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kami mempunyai skuad yang besar dan boleh melakukan rotation apabila perlu untuk perlawanan yang bakal dihadapi.

“Jadi sudah tentu akan ada pemain yang bermain di posisi berkenaan dan akan melakukan yang terbaik jika diberikan peluang,” katanya.

Mengulas mengenai lawan, Mora berkata : “Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai lawan, sebaliknya Saya lebih memikirkan pasukan sendiri dan mereka (pasukan lawan) patut merasa bimbang mengenai kemampuan kami.

“Kami sudah bersedia untuk perlawanan esok (hari ini), dan kami mahu berikan kegembiraan kepada penyokong sendiri dengan aksi yang akan dipersembahkan. Ia pasti menjadi perlawanan yang menarik,” katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih Boeung Ket Angkor FC, Anthony John McGlynn yakin pasukannya sudah bersedia memberi cabaran dan membuat kejutan ke atas skuad Harimau Selatan itu.

“Sudah tentu ia perlawanan besar buat kami, menentang dengan Johor yang merupakan juara Piala AFC. Ia sukar tapi kami tidak sabar untuk berdepan perlawanan ini.

“Kami sudah melakukan homework mengenai corak permainan JDT. Kami melakukan analisis dan kami mahu memberikan aksi yang terbaik pada malam esok (ini),” katanya.

McGlynn berkata, JDT sebuah pasukan yang kuat dan memiliki pemain tempatan dan import yang berbakat, namun Boeung Ket Angkor FC akan mempamerkan aksi tersendiri untuk atasi tuan rumah.

“Anda perlu mempunyai cita-cita dan perlu optimis dalam bola sepak.

“Keputusan yang baik ke atas Johor memang diperlukan walaupun kami tahu ia merupakan perlawanan yang sukar. Bagaimanapun tiada yang mustahil dalam bola sepak,” katanya.

Sumber : sinar harian


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget