Yusoff berkata, beliau hanya mahu bergandingan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memimpin FAM dan bukan dengan Annuar.
Ini kerana menurutnya, beliau hanya berminat untuk dipilih Timbalan Presiden dengan individu yang lebih selesa untuknya bekerja dalam satu organisasi.
“Tetapi dengan Tan Sri Annuar, kami tidak pernah duduk berbincang dan tidak tahu apa pembaharuan yang ingin dibawanya untuk FAM. Kerisauan saya ialah kami tidak dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dan akan timbul konflik sekiranya kami berdua dipilih oleh perwakilan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.
Justeru itu, beliau meminta perwakilan memilih calon terbaik yang mampu membawa perubahan kepada FAM dan landskap bola sepak negara.
“Biarlah perwakilan yang bentuk kepemimpinan dan jika perwakilan mahukan Annuar, mereka juga perlu memilih calon lain yang dirasakan sesuai sebagai gandingannya untuk membantu menerajui organisasi terbabit," jelasnya.
Bagaimanapun Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) tetap menyuarakan harapan supaya TMJ dapat menerajui FAM kerana mempunyai visi dan misi yang jelas untuk pembangunan bola sepak negara.
“Melalui perbincangan kami sebelum ini, TMJ pernah menyuarakan untuk melihat perubahan drastik dalam FAM terutamanya berkaitan hubungan dengan ahli gabungan atau persatuan bola sepak negeri.
“Kalau lihat kepada ahli gabungan sekarang, mereka seakan-akan tidak ada sense of belonging dengan FAM.
“Kami sependapat, aspek pembangunan bola sepak tunjang utama yang perlu dititikberatkan oleh pucuk pimpinan baharu FAM," katanya.
Sumber : sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan