Selasa, 21 Februari 2017

Naik taraf yang lama, kenapa bina stadium baru

Mengapa berbelanja besar jutaan ringgit bagi membina stadium baru sedangkan Stadium Darul Aman di Alor Setar boleh dinaik taraf?

Itu soalan yang diajukan ahli parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leong yang mahukan jawapan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata demikian berikutan pengumuman Ahmad Bashah baru-baru ini bagi membina sebuah stadium baru dengan kapasiti 60,000 tempat duduk kerana stadium lama di Alor Setar tidak lagi dapat menampung jumlah penonton ketika perlawanan.


Ahmad Bashah berkata, beliau telah menerima cadangan daripada syarikat-syarikat swasta bagi pembinaan stadium baru itu.

Lazada Malaysia
Gooi menegaskan bahawa Stadium Darul Aman dilengkapi dengan kawasan komersial, medan selera dan pusat sukan yang akan menarik syarikat-syarikat swasta untuk melabur.

"Rancangan Ahmad Bashah untuk membina sebuah stadium baru menimbulkan persoalan.

"Kapasiti 50,000 Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu telah dibina sembilan tahun lalu (2008), dengan kos sebanyak RM270 juta.

"Berapa banyak kos stadium baru yang dicadangkan Ahmad Bashah dan bagaimana ia akan dibiayai? Juga, siapa yang akan mendapat keuntungan daripadanya?" Soal  ahli parlimen PKR itu.

Beliau juga mempersoalkan sama ada terdapat rancangan untuk merobohkan Stadium Darul Aman dan kemudian membangunkan kawasan itu kepada "kroni tertentu BN".

Gooi berkata, peminat bola sepak di Kedah tidak mahu melihat stadium yang ikonik dan menjadi mercu tanda Alor Setar itu dirobohkan.

"Amat mengecewakan bila Ahmad Bashah, yang mengetuai kerajaan Kedah dan kini merupakan pengerusi Persatuan Bola Sepak Kedah, tidak dapat mencari wang untuk menaik taraf dan mengekalkan Stadium Darul Aman.

"Stadium itu kini ditinggalkan dalam keadaan menyedihkan, yang memerlukan pembaikan segera," kata Gooi.

Beliau turut menuntut jaminan daripada menteri besar bahawa Stadium Darul Aman tidak akan diruntuhkan.


Sumber : Malaysiakini


Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget