Itu amaran terakhir Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP)
kepada ketua jurulatih Harimau Kumbang, Ashley Westwood yang kini menjadi
sasaran serangan penyokong ekoran aksi hambar pasukan musim ini.
Pulau Pinang muncul satu-satunya pasukan yang kalah dalam
lima perlawanan berturut-turut pada permulaan Liga Super 2017, malah mereka
hanya menjaringkan gol pertama tahun ini ketika dibelasah 6-1 oleh Pahang dalam
aksi terakhir di Kuantan, Sabtu lalu.
“Westwood perlu membuktikan pendekatan dan cara
pengendalian beliau benar-benar berkesan dengan mencatat kemenangan dan
keputusan yang memuaskan.
“Kaedah untuk mengukur kejayaan ini adalah melalui usaha
melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia 2017,” kata Presiden FAP,
Zairil Khir Johari dalam laman sosial Facebook semalam.
Zairil turut melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan
Harimau Kumbang mengutip sebarang mata selepas lima perlawanan, namun pada
masa sama berharap semua pihak bersabar kerana usaha memperbaiki pasukan
memerlukan sedikit masa.
“Kami akan terus memberi masa yang sewajarnya kepada
pendekatan dan cara pengendalian Westwood.
“Kita juga memohon jasa baik semua pihak yang terlibat,
khususnya penyokong Pulau Pinang yang setia untuk memberi sokongan padu kepada
pasukan negeri yang kita sayangi bersama,” katanya.
Sementara itu, biarpun menerima tekanan hebat daripada
penyokong Pulau Pinang dan masih gagal mencari kemenangan sulung, namun
Westwood enggan menekan butang panik.
Pengendali dari England itu sebaliknya mahu penyokong
memberi peluang kepada pasukan untuk bangkit dalam perlawanan akan datang.
“Saya akui Pulau Pinang secara keseluruhannya bermain sangat
teruk dalam perlawanan menentang Pahang sehingga kami dikalahkan dengan enam
gol.
“Namun jika melihat kepada empat perlawanan sebelum ini,
kami hanya kalah nasib kerana secara strateginya kami bermain baik,” katanya
kepada pemberita di sini semalam.
Westwood mengakui skuad bimbingannya terdesak untuk mencari
tiga mata penuh dalam dua perlawanan akan datang.
Bagaimanapun, situasi itu tidak mudah memandangkan Pulau
Pinang akan berdepan pasukan teratas Liga Super ketika ini iaitu Kedah di
Stadium Darul Aman pada 25 Februari ini sebelum menentang Melaka United di
laman sendiri pada 1 Mac ini.
Ditanya mengenai peluang pasukan menentang Kedah dalam
perlawanan seterusnya, Westwood berkata, keseluruhan mereka perlu bersikap
positif dan tidak mengulangi kesilapan seperti perlawanan sebelum ini.
Berhubung kemarahan penyokong Harimau Kumbang termasuk
ancaman untuk memboikot perlawanan, Westwood menjelaskan, tindakan tersebut
adalah satu kelebihan kepada pemain-pemainnya.
“Sekurang-kurangnya jika penyokong mahu memboikot
perlawanan, pemain tidak akan berasa tertekan untuk beraksi,” katanya lagi.
Sumber : utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan