Calon presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa menegaskan betapa
beliau menolak sikap berpuak-puak sekiranya dipilih menerajui badan induk bola
sepak negara itu.
Bakal dicabar Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan
Ibrahim pada Kongres Ke-53 FAM, 25 Mac depan, Annuar menyatakan kesediaannya
untuk bekerja dengan sesiapa sahaja.
"Saya ditanya siapa gandingan saya dan sama ada saya
boleh bekerja dengan si polan dan si polan.
"Suka saya tegaskan salah satu misi saya ialah membawa
keharmonian, kerja berpasukan dan menghormati peranan semua exco yang
dipilih," katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu dilihat membidas sikap yang diambil calon
timbalan presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menyatakan hasratnya tidak
mahu bergandingan dengan bekas presdien Persatuan Bola Sepak Kelantan itu.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Yusoff hanya mahu
bergandingan dengan Tunku Ismail untuk memimpin FAM dan bukan dengan Annuar.
Justeru, Annuar berkata, beliau tidak terikat dengan
sesiapan dan boleh bekerja dengan sesiapa sahaja.
"Perwakilan bebas memilih siapa saja. Adalah buruk bagi
FAM kalau kita mula berpuak-puak, bergaduh sesama ahli gabungan, bergaduh
dengan kementerian dan sebagainya.
"FAM perlu perlu tenang dan kekalkan sifat saling
hormat menghormati," jelasnya.
Tambah anggota Parlimen Ketereh itu, beliau memilih untuk
tidak menekan sesiapa dan tidak berkumpulan dalam menghadapi pemilihan
kepimpinan FAM tersebut.
"Saya tidak akan menekan sesiapa dan tidak berkumpulan.
Tiada sogokan dan tiada ugutan.
"Saya percaya badan gabungan bijak membuat pilihan
sendiri corak mana kita mahu FAM ditadbir. Semuanya baik-baik belaka,"
katanya.
Sumber : Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan