Jumaat, 3 Februari 2017

Melaka United nampak kelebihan ketika berkunjung ke Ipoh

Pertemuan Melaka United dengan Perak di Stadium Ipoh malam esok (Sabtu) tanpa  kehadiran penyokong kedua pasukan dilihat akan memberi sedikit kelebihan kepada  skuad Hang Tuah.

Ini ekoran keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan perlawanan dilangsungkan tanpa penyokong akibat kekecohan yang ditimbulkan penyokong The Bos Gaurus semasa satu perlawanan Liga Super musim lalu.

Pengurus Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, ketiadaan penonton akan membolehkan pemain skuad Hang Tuah beraksi tanpa sebarang tekanan,  terutama dari penyokong fanatik Perak.

Meskipun mengakui keadaan ini juga akan menyebabkan Melaka United tidak  mendapat sokongan ratusan peminat yang sebelum ini dijangka akan berkunjung ke  Ipoh, namun beliau percaya anak buah Eric Williams akan berjaya mempamerkan  persembahan yang lebih kemas.

"Ini merupakan peluang terbaik kita untuk bermain tanpa tekanan dan mengatasi Perak untuk membawa pulang tiga mata penuh.

"Walaupun tanpa tekanan saya mahu pemain memberikan tumpuan dan  meneruskan momentum mereka selepas berjaya mengikat Selangor 1-1 minggu lalu," katanya.

Sementara itu, walaupun sependapat bahawa bermain tanpa penyokong akan mengurangkan tekanan kepada pemain, Williams berkata, bukanlah  suatu tugas mudah untuk menundukkan The Bos Gaurus.

Sambil mengakui Perak merupakan lawan sukar, beliau turut mengganggap The  Bos Gaurus sebagai antara pasukan pilihan yang bakal menyerlah pada saingan Liga  Super musim ini.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget