Jurulatih Felda United, Azmi Mohamad, menuntut kelainan daripada jentera serangannya yang dilabel masih gagal mencapai prestasi sebenar menjelang pertemuan Liga Super dengan Kedah, esok.
Sudah pasti, apa yang disuarakan Azmi merupakan amaran keras yang perlu dilangsaikan sebaik-baiknya oleh Zah Rahan Krangar, Gaston Celerino, Hadin Azman dan Norshahrul Idlan Talaha.
Yang nyata, prestasi mereka dalam dua aksi terdahulu gagal mencetuskan kelegaan buat Azmi, yang sebaliknya menegaskan barisan serangan Felda United perlu segera memperbetulkan prestasi semasa mereka.
"Kami masih melihat kelemahan di bahagian serangan. Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal melakukan tindakan penyudah.
"Saya harap esok mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik, terutamanya kami mengharapkan sumbangan besar daripada Gaston dan sokongan pemain-pemain seperti Zah Rahan," katanya.
Kebimbangan Azmi turut ditambah dengan ketiadaan tiga pemain utamanya, iaitu Hasni Zaini, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Lucas Cano, yang disahkan tidak dapat beraksi.
Azmi memiliki pilihan lain sebagai pengganti, namun dia tidak menolak ketiadaan ketiga-tiga pemain ini merencatkan perancangannya untuk berdepan Kedah.
"Persiapan menentang Kedah sedikit terjejas dengan masalah kecederaan dan kutipan kad, manakala Lucas pula baru kembali dari Argentina.
"Disebabkan itu, kami akan membuat sedikit perubahan."
Sumber : stadiumastro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan