Walaupun ia pengalaman baru buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selepas layak buat pertama kali saingan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) namun pengendali skuad itu, Benjamin Mora menyifatkan barisan pemainnya dianggap pasukan bukan pilihan sekali gus mengurangkan tekanan pemainnya.
Malah katanya, lawan Johor DT iaitu Gamba Osaka yang beraksi di laman sendiri di Stadium Suita City, Osaka, malam esok, mungkin lebih tertekan kerana tidak mengetahui lebih mendalam keupayaan skuad Harimau Selatan.
Mora menegaskan kejayaan menewaskan Bangkok United pada aksi kelayakan kedua ACL menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas terikat 1-1, bagaikan mencetus semangat buat pemain Johor DT untuk mengintai peluang melakar satu lagi sejarah bersaing bersama kelab elit Asia.
“Mungkin ramai tidak meletak harapan tinggi terhadap Johor DT, namun sebagai jurulatih, saya optimis barisan pemain yang akan diturunkan tetap memberi tentangan sengit dan cuba menyaingi kehebatan Gamba Osaka yang memiliki reputasi tinggi.
“Sama ada saya akan menurunkan kesebelasan yang sama ketika menentang kelab dari Thailand, baru-baru ini, ia belum diputuskan selepas Aidil Zafuan (Radzak) sah tidak dapat beraksi akibat kecederaan.
“Posisi tengah juga akan dimantapkan lagi dengan gandingan Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang mempamerkan aksi konsisten sebelum ini harus menggandakan kesungguhan bagi mengimbangi kekuatan kelab dari Jepun itu,” ujarnya.
Seandainya Johor DT berjaya mengatasi Gamba Osaka pada perlawanan itu, skuad kendalian Mora akan beraksi dalam Kumpulan H ACL bersama Adelaide United dari Australia, Jiangsu Suning (China) dan Jeju United (Korea Selatan).
Mora menegaskan pemainnya sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk selepas menjalani sesi latihan berhampiran stadium malah setiap pemain memberi sepenuhnya komitmen ketika latihan dan tampak bersedia menempuh 90 minit perlawanan.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan