Jaringan gol ketika membantu PKNS FC menewaskan Selangor 5-3 dalam aksi Liga Super kelmarin mungkin memberi isyarat awal Safee Sali sudah kembali.
Ia gol yang agak lama dalam saingan liga dinantikan penyerang berusia 33 tahun itu selepas kali terakhir dia mencetak nama selaku penjaring ketika bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada Mei lalu.
Ia juga gol pertama dalam tiga perlawanan bagi Safee bersama kelab baru PKNS yang tumpas dalam dua perlawanan awal 0-1 di tangan FELDA United dan Kelantan 1-3.
Bagi pemain kebangsaan itu, dia masih lagi mencari sentuhan berbisanya dan kemenangan yang diraih ke atas bekas pasukan Selangor memberi suntikan keyakinan kepadanya.
“Saya gembira kerana PKNS menang bukan sebab saya menjaringkan gol. Perlawanan ini penting untuk moral pasukan PKNS. Bagi diri saya pula, jaringan yang saya lakukan memberi keyakinan kepada saya tapi yang penting saya kena berusaha keras lagi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Shah Alam itu.
Safee dianggap salah seorang penyerang terbaik kebangsaan dengan kemuncak prestasinya ketika membantu negara menjuarai Piala AFF 2010. Malah dia turut menerima anugerah penjaring terbanyak dengan lima gol.
Bagaimanapun ada peminat menganggap era Safee sudah berakhir apabila gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Johor DT selepas berpindah dari kelab Indonesia Pelita Jaya pada 2013.
Bagaimanapun dia percaya keputusannya untuk menyertai PKNS musim ini sebagai platform terbaik untuk menghidupkan semula kariernya termasuk di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaysia.
“Memang peluang bermain dengan PKNS lebih cerah berbanding pasukan lama. Alhamdulillah saya bermain dalam kesebelasan utama bagi tiga perlawanan setakat ini jadi saya kena terus berusaha merebut tempat.
“Saya kena berusaha meningkatkan prestasi bersama PKNS dan bagi skuad kebangsaan, ketua jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) pasti ada perancangan tersendiri. Saya hanya perlu konsisten dengan PKNS,” jelasnya.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan