Semangat bekerjasama dan persefahaman antara pemain tempatan dan import sekali lagi diharap cetuskan kebangkitan luar biasa The Red Warriors (TRW) untuk membenam Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super di Kota Bharu, Sabtu ini.
Pemain tengah TRW, Indra Putra Mahayuddin, berkata kemenangan pertama 3-1 ke atas PKNS FC minggu lalu menjadi suntikan moral buat rakan sepasukan sebelum menerima kunjungan JDT ke Stadium Sultan Muhammad Ke IV.
"Pertemuan dengan JDT amat dinantikan peminat dan dianggap satu ujian getir dalam menentukan tahap pencapaian pemain, sama ada berada dalam kelas tersendiri atau sebaliknya.
"Saya meminta rakan sepasukan meneruskan semangat bekerjasama dan persefahaman antara pemain import serta tempatan yang kini berada di landasan baik.
"Malah, tidak mustahil TRW bakal mengejutkan JDT yang tidak pernah tewas sepanjang saingan Liga M musim 2016, malah rekod pertemuan juga memihak pasukan Harimau Selatan itu musim lalu," katanya.
Namun, TRW memiliki kelebihan dari segi tempoh rehat yang panjang manakala ujian getir menanti JDT yang memulakan kempen pusingan kedua Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) berdepan Bangkok United di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand, esok," katanya ketika ditemui di padang Pusat Latihan Pertanian MARDI, di sini.
Sementara itu, penyerang import TRW, Mohammed Ghaddar, mengakui beliau bukan lagi 'budak nakal' seperti ketika bersama TRW pada 2012, malah berazam mahu mengikis gelaran yang diberikan peminat itu.
"Sebab itu, saya tampil bersama TRW kali ini dengan imej lebih bersih dan menolak andaian peminat yang menganggap saya pemain bermasalah dan tidak berdisiplin," katanya.
Mohammed Ghaddar juga berterima kasih kepada peminat yang masih menaruh kepercayaan terhadapnya untuk mengetuai jentera serangan TRW, walaupun pernah dilabel pemain penuh kontroversi sebelum ini.
Sumber : bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan