Perebutan antara FELDA United dan Kedah terhadap tonggak pertahanan kanan Harimau Malaysia, Rizal Ghazali dijangka selesai selewat-lewatnya pertengahan bulan depan dengan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memanggil kedua-dua pihak.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah menjawab tuntutan balas yang dikemukakan skuad The Fighters mengenai isu Rizal yang didakwa antara salah seorang pemain mereka musim ini.
“Saya boleh sahkan kami (Jawatankuasa Status FAM) sudah menerima afidavit balas daripada KFA pada jam 6 petang Jumaat lalu.
“Saya ucapkan terima kasih atas kerjasama baik KFA yang tidak melambat-lambatkan kes Rizal itu dan saya berjanji akan segera selesaikan kemelut itu selewat-lewatnya pertengahan Februari ini.
“Memandangkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) sudah bermula, saya faham pastinya keputusan mengenai kes Rizal ini dinantikan semua pihak termasuk pasukan dan penyokong,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Status sebenar pemain kelahiran Baling, Kedah itu mula menimbulkan persoalan selepas dia didakwa memiliki dua kontrak apabila membuat ‘pusingan U’ dengan melanjutkan kontrak setahun bersama skuad Helang Merah meskipun sudah mencapai persetujuan hitam putih untuk menyertai skuad bimbingan Azmi Mohamed.
Sumber : hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan