Selasa, 31 Januari 2017

Mora pertaruh pemain muda hadapi Bangkok United

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora akan menurunkan pemain muda bagi mengharungi Pusingan Kedua Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Bangkok United di Stadium Thammasat, Thailand malam ini.

Menurutnya, taktikal itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sekali gus mematangkan cara permainan mereka.

“Kita akan beri peluang kepada beberapa pemain muda kerana peluang ini dilihat sesuai untuk mereka mengembangkan potensi mereka. Lagipun pemain muda ini kesungguhan dia lebih kuat untuk mendapatkan kemenangan.

“Langkah ini juga bertujuan untuk memberi laluan kepada pemain kami yang memerlukan rehat setelah melalui dua perlawanan liga iaitu menentang Kedah dan Felda United baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kami akan nilai semula senarai pemain dan melihat siapa yang paling sesuai diturunkan mengikut tahap kecergasan dan persediaan mereka,” katanya.

Mora berkata, tenaga kejurulatihan JDT juga sudah melakukan beberapa persediaan dengan mengkaji corak permainan lawan berdasarkan beberapa perlawanan bersama kelab Thailand, musim lalu.

“Melalui pengalaman ketika aksi pra musim bertemu kelab Thailand iaitu Buriram FC baru-baru ini, pelbagai taktikal dan strategi mengekang serangan lawan telah dirangka yang semestinya melibatkan pelbagai perubahan.

“Liga Thailand merupakan antara kejohanan sukar dan mereka mempunyai banyak pasukan yang kuat. Untuk perlawanan ini kami akan berdepan dengan Bangkok United iaitu antara pasukan terkuat dalam liga tersebut.

“Tetapi saya yakin kami masih mempunyai kelebihan memandangkan sebahagian daripada pemain sudah pun biasa dengan keadaan padang dan tekanan beraksi di sana,” katanya.

Sumber : sinar harian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget