Bekas pemain bola sepak negara, Khalid Ali mahu peluang menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diberikan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan menggesa calon lain supaya menarik diri.
Menurutnya, tiada individu lain lebih layak selain Tunku Ismail selain kredibiliti yang dimiliki mampu mengangkat kembali sukan nombor satu negara itu ke peringkat yang lebih baik.
Malah kata Khalid, tempoh 10 tahun perlu diberikan kepada Tuanku Ismail sebagai Indeks Pencapaian Utama (KPI) membangunkan semula kegemilangan bola sepak negara sepertimana dilakukan terhadap Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Saya tidak nampak ada calon lain lebih layak berbanding TMJ. Bagi saya sendiri, elok bagi peluang untuk TMJ memegang FAM dengan tempoh 10 tahun, selepas itu barulah kita nilai kembali pencapaian skuad negara.
"Sasaran lima tahun itu untuk menakluki Asia Tenggara dan baki lima tahun untuk menguasai Asia. Kalau diikutkan tempoh 10 tahun itu pendek tetapi saya yakin apa yang mampu dilakukan oleh TMJ," katanya.
Jelas Khalid lagi, semua pihak perlu memberikan sokongan kepada TMJ jika mahu melihat skuad negara sekurang-kurangnya mampu bersaing dengan kuasa besar Asia dalam tempoh terdekat.
“Bola sepak kita makin merudum berbanding pasukan Asia lain terutama Thailand dan Vietnam yang semakin ke depan.
"Memang ada usaha FAM untuk menambah baik bola sepak negara, tetapi ia seolah-olah tidak berhasil dan memerlukan individu seperti TMJ untuk mengubahnya," katanya.
Sementara itu, bekas pemain negara era 80-an, Bakri Ibni turut berkongsi pandangan sama dan menyifatkan pengaruh TMJ dalam sukan bola sepak di negara ini cukup besar.
Bagaimanapun, kata Bakri, TMJ perlu pandai dalam sistem pentadbiran dengan membezakan sempadan dalam pengurusan bola sepak negara.
"Bagi saya Tuanku Ismail memang layak untuk mengangkat bola sepak negara. Tetapi perlu ada batas terutama untuk masuk campur dalam pasukan.
"Contohnya, TMJ hanya menguruskan mengenai pentadbiran dan segala perkara mengenai pasukan negara seperti kesebelasan utama tidak harus diganggu dan menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih.
"Perkara ini yang kebanyakan persatuan bola sepak di negara ini masih gagal untuk laksanakan sehingga menimbulkan masalah dalaman," katanya.
Sumber : sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan