Ahad, 31 Julai 2016

Perak cemerlang, benam JDT di laman sendiri

Perak terus cemerlang dalam kempen TM Piala Malaysia 2016 apabila membenam JDT, 3-0 di Stadium Perak, malam tadi.

‎Kedua-dua pasukan bermula garang dalam usaha membuka jaringan, namun seawal minit pertama, JDT hampir mengejutkan tuan rumah apabila pemain lincah, S.Chanturu berjaya melepasi kawalan pertahanan Perak, namun rembatannya tinggi melewati palang gol.

Tersentak dengan asakan berkenaan, kesebelasan Perak bangkit mengatur serangan ke gawang pelawat.

Minit ke-11, sekali lagi skuad Kejor Yeop Skor itu berpeluang membuka jaringan, namun sepakan percuma penyerang import, Xhevahir Sukaj berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Sukaj ahkirnya berjaya memecah kebuntuan apabila meledak jaringan pembukaan pada minit ke-15 apabila berjaya memanfaatkan lorongan cantik rakan sepasukan dengan merembat deras menewaskan Farizal.

Minit ke-24, JDT pula berpeluang menyamakan kedudukan, namun rembatan Chanturu berjaua diselamatkan penjaga gol skuad Seladang itu, Muhammad Hafizul Hakim.

Stadium Perak sekali lagi gamat apabila pemain lincah Mohd Fazli Kadri meledak gol kedua  pada minit ke-42.

Jaringan berkenaan dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Perak bagi menambah jaringan, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Perak semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemainnya, S Chanturu dilayangkan kad merah pada minit ke-60.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya kesebelasan Perak dan hasilnya, Mohd Fazrul Hazli meledak gol ketiga skuad The Bos Gaurus itu pada minit ke-65 setelah berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT.

Gol ketiga berkenaan semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk terus mengasak ke gawang lawan bagi menambah jaringan.

Namun, tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat.

Perak - Hafizul Hakim, Amirul Azhan, Thiago Junio, Shahrul, Naziruk Naim, Muhammad Ridzuan Azly, Kenny Pallraj, Mohd Nasir, Oybek Kilichev, Mohd Fazrul Hazli, Xhevahir Sukaj (Fikri)

JDT - Farizal Marlias, Amirul Hadi, Safee Sali, Hariss Harun, Mohd Shakir, Amri Yahyah, Nazrin Nawi, S.Chanthuru, Azrif Nasrulhaq, Dominic Tan, Mohd Hasbullah

Pengadil - Mohd Zamzaidi Katimin

Sumber : sinarharian

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget