Ahad, 24 Julai 2016

Perak berjaya kutip tiga mata tapi Weigang terkilan

Walaupun berjaya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri serta melonjak ke tangga kelapan Liga Super, ketua jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang, terkilan dengan kurangnya sokongan dan kehadiran peminat bola sepak the Bos Gaurus.

"Mana peminat bola sepak Perak? Saya musykil, ini pasukan negeri tetapi kenapa mereka tidak ada semangat patriotik," katanya.

Menurut Weigang lagi, senario ini berbeza daripada di negeri kelahirannya.

"Saya dari Jerman, datang ke Perak menyahut cabaran dan berkongsi kemahiran dalam usia sebegini bukan kerana wang tetapi minat dan sayang mendalam kepada sukan bola sepak.

"Saya sayang Perak, banyak memori dan tidak boleh tolak tanggungjawab ini.

"Tanpa sedar semangat peminat mampu menaikkan kualiti bola sepak Perak", tambahnya lagi.

Terdahulu, Perak turut mencipta kemenangan selesa 4-1 ke atas PDRM dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia.

Menyentuh prestasi pemain bimbingannya, jurulatih veteran ini berterus-terang tidak teruja apabila banyak kesilapan mudah dilakukan.

"Pasukan tidak mengikuti arahan, kerap hilang fokus dan peluang keemasan dilepaskan begitu sahaja" katanya.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, seperti mana Weigang, berpendapat jadual padat menyumbang kepada ketidakcergasan dan
kualiti pemain beraksi.

"Perak ada rehat lebih satu hari daripada kami dan pada awal permainan agak seimbang tetapi gol kedua merobek semangat pemain".

Perak akan menentang Pahang, Selasa ini, di tempat lawan dalam saingan Liga Super dan bertemu JDT empat hari kemudian dalam kempen Piala Malaysia di Ipoh.

Sumber : stadiumastro

Kongsikan Dengan Rakan Anda
Facebook Twitter Google LinkedIn Pinterest

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Widget